Pihak polis menerima 'variasi lain' berhubung dakwaan terdapat usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dilaporkan kepadanya.
Bagaimanapun Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar enggan mendedahkan butiran lanjut dan hanya memberitahu wartawan bahawa ia "berlainan dari yang diterima sebelum ini".
"Butirnya tak perlulah saya jelaskan. Saya difahamkan, sudah ada pun wartawan yang menemuduganya (pengadu) pagi ini," katanya.
Laporan itu dibuat di Pulau Pinang pada jam 8.50 pagi tadi.
Sehubungan itu, tambahnya, lebih ramai lagi saksi akan dipanggil memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes yang diberi keutamaan ketika ini.
Penulis blog Big Dog (atau Zakhir Mohamed) -- yang dipercayai saksi utama bagi kes itu -- bagaimanapun belum dipanggil memberikan keterangan dan akan dipanggil "pada bila-bila masa" sahaja, kata Khalid.
Utusan Malaysia pada Sabtu lalu, berdasarkan dakwaan dua penulis blog pro-Umno menuduh terdapat usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi selain memastikan perdana menteri daripada penganut agama itu.
Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini, Khalid juga menasihatkan supaya kes yang disiasat bawah Akta hasutan 1948 itu tidak dispekulasi dan diperbesar-besarkan.
Ini kerana, menurut Khalid lagi, kes itu masih dalam proses siasatan.
Sementara itu, kandungan sebenar laporan yang dibuat di Pulau Pinang itu masih menjadi teka-teki.
Di Pulau Pinang, ketua polisnya Datuk Ayop Yaakob juga enggan mendedahkan aduan baru itudengan alasan Khalid telah mengulasnya di Kuala Lumpur.