Tiada keperluan bagi pihak polis mendedahkan siapa pelaku dalam video seks yang mirip seorang pemimpin pembangkang walaupun sudah mengenalpastinya.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar ( kiri ) berkata ia hanya akan didedahkan sekiranya terdapat keperluan undang-undang.
"Saya tak perlu huraikan, kalau undang-undang kata perlu, kita dedahlah, kalau tidak, tidaklah," katanya.
Pada 26 April lalu, Khalid berkata polis tidak teragak-agak untuk mendedahkan "si pelaku" dalam video seks itu kepada umum sekiranya perlu.
Diajukan soalan yang sama oleh pemberita lain, beliau juga secara berjenaka berkata:
"Kalau dah... kalau dah... kalau dah video itu sahih, lain-lain tuan-tuan boleh buat andaianlah."
Beliau juga enggan mengulas lanjut sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dikenakan tindakan sekiranya sah merupakan pelakunya.
"Kita akan tengoklah kemudian," jawabnya ringkas kepada pihak media.
Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini, Khalid mengesahkan telah menerima laporan pakar luar negara yang mengesahkan kesahihan video itu, sekali gus mengukuhkan penemuan pakar dalaman sebelum ini.
Siasatan tahap akhir
Ditanya tentang keperluan polis menyiasat ketulenannya sedangkan kes disiasat berkenaan penayangan video lucah, Khalid berkata:
"Kita kena siasat adakah video itu video lucah. Jika bukan video lucah, bukan (Seksyen) 292 (Kanun Keseksaan)," katanya.
Video berkenaan kali pertama dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh satu kumpulan dikenali sebagai 'Datuk T' di Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.
Trio itu merupakan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas Bendahari PERKASA Datuk Shuib Lazim.
Malah Shazry dengan ditemani dua rakannya itu melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul 29 April lalu menuduh Anwar sebagai pelaku video berkenaan.
Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, Khalid juga mengakui siasatan kes ini kini sudah sampai ke tahap akhir dan laporan dijangka dihantar kepada pejabat peguam negara tidak lama lagi.
Beliau bagaimanapun enggan memberikan tarikh tepat bila ia dijangka selesai dan sama ada trio Datuk T sebagai pihak di belakangnya akan didakwa di mahkamah selepas ini.
Sementara itu, ditanya tentang penayangan di internet pula, Khalid berkata perkara itu memakan masa kerana maklumat berkaitan tidak mudah diperoleh.