Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Paderi tiada hasrat cabar agama rasmi
Diterbitkan:  May 12, 2011 3:58 PM
Dikemaskini: May 13, 2011 8:51 AM

Datuk Seri Najib Razak berkata kumpulan pemimpin Kristian telah memberi pengakuan bahawa mereka menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan tiada hasrat mencabar peruntukan itu dalam Perlembagaan Persekutuan.

    

NONE Perdana Menteri berkata kumpulan pemimpin itu juga memberi pengakuan untuk bekerjasama memupuk keamanan dan keharmonian terutama antara agama supaya Malaysia terus menjadi sebuah negara yang aman dan sejahtera.

"Sukacita saya maklumkan bahawa pemimpin-pemimpin Kristian telah memberi dua pengakuan yang sangat penting dan bermakna (hari ini)," katanya kepada pemberita selepas makan tengah hari bersama pemimpin Kristian di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

    

Antara yang hadir ialah dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri  Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala serta Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia, Biskop Ng Moon Hing.

    

NONE Dalam pertemuan itu juga, Najib memberi jaminan kepada kumpulan pemimpin berkenaan bahawa kerajaan memerlukan masa untuk meneliti beberapa pandangan dan permasalahan yang mereka hadapi.

    

"Bukanlah menjadi tujuan kedua-dua pihak sama ada kerajaan ataupun kumpulan pemimpin Kristian untuk kita mengetengahkan secara terbuka perkara-perkara tersebut sehingga dapat diselesaikan dengan baik.

Secara terbuka

    

"Apabila telah dapat diputuskan dan diselesaikan dengan baik pada masa itulah, kita akan katakan sesuatu secara terbuka," katanya.

Ditanya apakah permasalahan tersebut, Perdana Menteri berkata: "Bila sudah selesai, kita akan nyatakan secara terbuka."

    

azlan Perdana menteri berkata dialog yang serupa juga boleh diadakan dari semasa ke semasa pada masa akan datang bersama kumpulan agama lain kerana beliau telahpun mengadakan perjumpaan dengan pemimpin dan cendekiawan Islam, semalam.

Ditanya bila dialog bersama pemimpin Kristian itu dirancang untuk diadakan, Najib berkata pejabatnya telah mengatur pertemuan itu sejak dua minggu lepas, namun hasrat beliau untuk mengadakannya lebih awal lagi.

    

Ditanya reaksi kumpulan pemimpin berkenaan berhubung isu Kristian baru-baru ini, perdana menteri berkata kumpulan pemimpin Kristian itu tidak senang hati dengan berita tersebut seperti yang disiarkan dalam akhbar.

"Mereka telah terima nasihat saya supaya kita bertenang dalam hal ini dan jangan buat sesuatu yang menambah ketegangan dalam masyarakat," katanya.

    

utusan malaysia, malaysia negara kristian, penang pastor meeting Sebelum ini, akhbar melaporkan berhubung penganjuran majlis pertemuan paderi dari seluruh negara di Pulau Pinang baru-baru ini, yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan.

Tunggu laporan polis

"Sebab itu kita perlu berhati-hati dalam hal ini supaya apa jua perkara yang boleh menimbulkan kegelisahan dan ketegangan dalam negara perlu kita elakkan dan perlu kita gunakan kebijaksanaan untuk menangani dan menguruskan isu-isu itu," kata Najib.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata beliau masih menunggu hasil siasatan polis berhubung isu tersebut.

    

utusan malaysia kritsian agama rasmi "Biarlah polis jalankan siasatan dulu dan bila sampai masanya, kita cari jalan sebaik-baiknya dengan penuh kebijaksanaan sebelum membuat sesuatu keputusan," katanya.

    

Najib berkata secara keseluruhannya, beliau puas hati kerana usaha kerajaan mengadakan dialog tersebut dihargai pemimpin Kristian.

    

"Mudah-mudahan dengan pendekatan ini, kita akan dapat memperlihatkan kesungguhan kerajaan dengan pihak lain sama ada Islam, Kristian atau kumpulan agama lain untuk bekerjasama sebagai satu usaha ke arah keamanan dan kesejahteraan negara yang dihasratkan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia," katanya.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS