Pemimpin agama Kristian hari ini meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung ‘pemberitaan tidak bertanggungjawab’ yang mendakwa ‘konspirasi Kristian’ yang disiarkan oleh sebuah akhbar arus perdana milik Umno.
"Kami hanya beritahu kami agak terganggu dan tidak puas hati... tidak bertanggungjawab, kata-kata fitnah yang berpotensi menyebabkan rusuhan sepatutnya tidak diterbitkan oleh media arus perdana ataupun di mana-mana media sekalipun,” kata bishop Ng Moon Hing yang mewakili Persekutuan Kristian Malaysia (CFM).
Ng memberitahu wartawan beliau menganggap pertemuan 45 minit dengan perdana menteri itu sebagai berhasil kerana ini kali pertama kumpulan agama itu dibawa berbincang.
Utusan Malaysia pada Sabtu lalu, berdasarkan dakwaan oleh dua blogger pro-Umno menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara agar golongan beragama Kristian boleh menjadi perdana menteri dan menyiarkan laporan bertajuk “Kristian agama rasmi?”
Dalilnya mereka cuma sekeping gambar kabur yang didakwa sebagai pakatan rahsia antara DAP dan paderi Kristian di sebuah hotel di Pulau Pinang, minggu lalu.
"Perdana Menteri menegaskan kepentingan kesederhanaan dan saya berpendapat kami semua percaya dengan perkara yang sama,” katanya.
Tidak ada ruang bagi “pelampau” kata Ng.
Jaminan siasatan
Mesyuarat itu yang diaturkan dua minggu lalu itu dipengerusikan oleh Najib yang diiringi menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Tan Sri Koh Tsu Koon.
Menurut Ng segala dakwaan dalam akhbar Utusan dan juga blog pro-Umno itu adalah pembohongan dan Najib telah memberikan jaminannya bahawa perkara berkenaan akan disiasat.
"Kami nafikan semua tuduhan itu.
"Masyarakat Kristian dan komuniti lain menghormati kedudukan Islam. Kami tidak pernah mencabar kedudukan Islam.
"Kami hanya mahu ruang sendiri bagi mengamalkan agama kami, itu sahaja. Setiap orang mahu kebebasan beragama untuk menyembah Tuhan mereka,” kata Ng.
"Kami tidak ada sebarang alasan untuk menggangu-gugat apa-apa ataupun mencabar sesiapa. Saya tidak fikir ia perkara yang betul untuk dilakukan dan tidak ada penganut Kristian akan membuat perkara seperti itu.
“Mana-mana amalan yang berniat jahat dan berupa hasutan tidak harus direstui. Jika direstui, maka tindakan tertentu harus diambil,” katanya.
Selain Ng, tiga lagi wakil CFM ialah Reverend Eu Hong Seng, Bishop Antony Selvanayagam dan Thomas Sen, juga hadir.
Turut serta presiden Pertubuhan Biskop Katolik Malaysia, Tan Sri Datuk Murphy Nicholas Pakiam; presiden Majlis Gereja Sabah, Albert Voon dan Persatuan Gereja-gereja Sarawak, Bolly Lapok.