Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengemukakan cadangan drastik supaya mekanisme penggubalan undang-undang berkaitan Islam ditukar bagi mengekang pengaruh politik dan mengelakkan campurtangan golongan bukan Islam.
Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihaknya mahu undang-undang yang hendak digubal didraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebelum dibawa kepada Majlis Raja-raja dan terus ke kabinet dan parlimen untuk disahkan tanpa dibahas.
Menurutnya, perbahasan - seperti yang berlaku sekarang - tidak diperlukan lagi kerana kerana ia sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Perbezaannya adalah perkenan Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong ini diperoleh terlebih dahulu sebelum perkara ini dibawa ke jemaah menteri dan parlimen.
"Ia bertujuan mengelakkan perbahasan tentang Rang Undang-Undang Islam oleh orang bukan Islam termasuklah oleh orang Islam yang tidak mempunyai keilmuan dalam undang-undang Islam," beliau dipetik sebagai berkata.
Mahkamah Syariah setaraf Mahkamah Sivil
Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia hari ini, Zainul Rijal berkata, dengan cara itu, jaminan orang Islam mentadbir agamanya secara eksklusif menurut Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan akan terlaksana.
"Dalam konteks ini juga ia menggambarkan bidang kuasa agama dapat dikeluarkan dan bebas daripada campur tangan pihak-pihak tertentu atas dasar kepentingan politik masing-masing ataupun kedangkalan ilmu Islam itu sendiri," katanya.
Peguam bela, peguam cara dan peguam syarie berpengalaman itu juga berkata, mereka juga mahu campurtangan dalam urusan agama oleh pihak lain hendaklah dihadkan secara menyeluruh, termasuk menolak campurtangan terhadap urusan agama bukan Islam.
Menurut Zainul Rijal, tindakan itu mesti diambil kerana orang lain kerana tidak mengetahui hal agama tersebut, selain perlu menghormati fahaman agama mereka.
"Tetapi perkara sebaliknya berlaku kerana apabila perbahasan yang melanggar hukum syarak seperti yang berlaku terhadap Undang-Undang Keluarga Islam yang berlangsung di parlimen beberapa tahun yang lalu, ahli-ahli Dewan Negara yang bukan Islam turut serta dalam perbahasan dengan melabelkan undang-undang Islam zalim dan menindas serta tidak memihak kepada wanita," katanya.
Sementara itu, bagi mengelakkan undang-undang Islam dipersoalkan, PPMM mencadangkan status mufti, Majlis Agama Islam diletakkan di tempat yang sewajarnya dan Mahkamah Syariah diletakkan sama tarafnya dengan Mahkamah Sivil dari segi bidang kuasa, gaji, strukturnya perlu sama.