Pesara tentera terkejut, apabila seekor daripada ikan keli yang ditangkapnya bersifat ganjil setelah didapati warna pada badannya bertompok-tompok seakan-akan badan lembu tenusu.
Osman Abd Majid, 53 atau lebih dikenali sebagai Man Petai oleh orang-orang kampung berkata, beliau menemui ikan berkenaan pada Jumaat lalu, semasa mengangkat jaring di sebatang sungai yang terletak kira-kira 30 meter di hadapan rumahnya di Taman Desa Molek Seksyen 1 Ayer Molek, Melaka.
Menurutnya, warna pada badan ikan berkenaan terdapat empat warna iaitu hitam, putih, coklat dan merah.
"Semasa mengangkat jaring, pada mulanya saya ingatkan objek yang saya tangkap itu seekor ular kerana warna badannya yang ganjil namun setelah saya tarik jaring perlahan-lahan, rupa-rupanya ia seekor ikan dari spesis keli.
"Saya terus bawa ikan tersebut ke sebuah warung berhampiran yang biasa saya duduk bersama rakan-rakan untuk ditunjukkan kepada mereka. Mereka pun hairan apabila melihat rupa ikan keli yang saya perolehi ini," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Beliau berkata, sebaik mengetahui perkara berkenaan, ramai rakan-rakannya yang menelefonnya untuk membeli ikan keli berkenaan yang beratnya hanya 250 gram.
"Ada juga di antara rakan-rakan yang menawarkan untuk membeli ikan ini. Ada yang hendak bayar sampai RM30 tetapi saya belum hendak menjualnya.
"Bagaimanapun, sekiranya ada yang menawarkannya dengan harga yang menarik saya bersedia berunding," katanya.
Keganjilan ketiga
Osman berkata, sepanjang usianya, beliau belum pernah menemui ikan jenis berkenaan biarpun aktiviti menangkap ikan keli ini sering dilakukannya sejak dari kecil lagi.
"Sebelum ini pun, rumah saya memang tepi sungai dan selalu menangkap ikan tetapi tidak pernah pula menemui ikan seperti ini yang agak ganjil.
"Apabila saya meletakkan ikan ini ke dalam akuarium bersama ikan lain, ia bersifat agak garang dan tidak sesuai kecuali bersama ikan keli lain," katanya.
Menurut Osman, kejadian menemui benda ganjil ini adalah yang ketiga di dalam hidupnya setelah lima tahun lalu menemui jering yang berwarna kehijauan.
"Dua bulan lalu, saya menemui ayam berkaki empat di warung Pak Arif yang terletak tidak jauh dari sini dan Jumaat lalu, saya jumpa pula ikan ganjil ini.
"Peliknya semua benda yang saya temui berlaku pada hari Jumaat," katanya.