Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan beberapa pertubuhan Kristian esok berhubung dakwaan ‘konspirasi Kristian’ seperti yang dipaparkan pada tajuk utama Utusan Malaysia Sabtu lalu.
Setiausaha Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM) Rev Hermen Shastri memberitahu akhbar berbahasa Cina hari ini bahawa mesyuarat itu adalah usaha Pejabat Perdana Menteri yang mahu mencari penyelesaian berhubung kekalutan isu berkenaan.
Sambil berkata, mesyuarat itu akan diadakan secara tertutup Hermen enggan mendedahkan tempat dan masa ia akan diadakan.
Selain itu, katanya hanya ahli CCM tertentu yang dijemput menghadirinya sdambil mengesahkan bahawa beliau sendiri tidak dijemput menghadiri pertemuan itu.
Namun menurut Herman, Pejabat Perdana Menteri sepatutnya juga berjumpa dengan editor Utusan untuk mengetahui mengapa mereka menimbulkan isu berkenaan terlebih dahulu.
Beliau juga membidas akhbar milik Umno itu kerana membuat laporan ‘palsu’ itu dan bermain dengan ‘api’.
Utusan Malaysia pada Sabtu lalu, berdasarkan dakwaan oleh dua blogger pro-Umno menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara agar golongan beragama Kristian boleh menjadi perdana menteri dan menyiarkan laporan bertajuk “Kristian agama rasmi?”
Dalilnya mereka cuma sekeping gambar kabur yang didakwa sebagai pakatan rahsia antara DAP dan paderi Kristian di sebuah hotel di Pulau Pinang, minggu lalu.