Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata tidak mungkin Kristian boleh menjadi agama rasmi negara ini, seperti laporan kontroversi Utusan Malaysia sebelum ini.
Katanya, perkara tersebut, berdasarkan komposisi parlimen, perkara itu "tidak mungkin berlaku".
"DAP hanya menang kerusi yang ditandingi oleh MCA, GERAKAN... kerusi orang Cina.
"Kerusi orang Melayu, hanya PAS lawan Umno. Kalau PAS kalah, Umno menang. Kalau Umno kalah, PAS menang. Apa masalah.
"Jadi tidak timbul bukan Islam jadi PM, selagi mana majoritinya memihak kepada orang Islam," katanya dalam satu sidang media.
Mengulas kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok berhubung perdana menteri Kristian, Mahfuz berkata perkara itu merupakan isu lama.
Perlembagaan tak halang
Mahfuz yang juga anggota parlimen Pokok Sena berkata, perkara yang sama pernah disebut oleh bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba.
"Perlembagaan tidak menghalang. Tan Sri Benard Dompok (juga) berkata perlembagaan tidak menghalang... (Jadi) apa sikap Umno terhadap kenyataan Benard Dompok?
"Isu ini bukan isu PAS atau (memerlukan) pendirian PAS, tetapi tidak ada disebut dalam perbincangan paderi bahawa orang Kristian akan jadi perdana menteri. Tak ada pun," katanya.
Walaupun percaya idea memiliki perdana menteri Kristian tidak akan menjadi kenyataan, Bernard semalam mengemukakan persoalan tentang apa salahnya memiliki perdana menteri daripada golongan itu.
Katanya, perlembagaan tidak menetapkan agama sebagai syarat menjadi perdana menteri, sebaliknya hanya memerlukan sokongan dua pertiga dalam parlimen.
Mahfuz turut membidas akhbar Umno itu yang mutakhir ini didakwa menyiarkan laporan yang menambah lagi "api perkauman sempit".
"Laporan mutakhir ini memperlihatkan BN dan Umno berdepan dengan sesak nafas menyebabkan saluran pernafasan mereka semakin sempit sehingga mengambil pendekatan yang tidak demokratik dan tidak bermoral dalam etika politik (di Malaysia)," katanya.
Secara sinis, beliau 'menasihatkan' BN tidak bersikap seperti "penagih dadah" untuk menagih simpati pengundi Melayu dengan laporan sebegitu.
Tambahnya, sikap tersebut sebaliknya boleh menjejaskan perpaduan di kalangan rakyat yang harmoni selama ini.