Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) menyangkal dakwaan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atau DAP pernah meminta
pastornya mendoakan supaya Malaysia menjadi negara Kristian atau penganut Kristian menjadi perdana menteri.
Selepas satu pertemuan selama 90 minit antara Lim dan CFM di Komtar hari ini, kedua-dua pihak mengeluarkan kenyataan bersama
yang menegaskan bahawa pihak gereja dan pastor sentiasa mendoakan kesejahteraan negara.
"Kami juga mendoakan untuk keamanan, perpaduan dan keharmonian antara kaum dan untuk satu kepimpinan yang jujur dan adil," kata Lim, yang membacakan kenyataan tersebut. Turut hadir ialah kira-kira 50 wakil CFM.
"Pastor Kristian dan pihak gereja terkilan kerana pembohongan sedemikian boleh disiarkan dalam media massa," katanya.
Lim menegaskan demikian sebagai menjawab tuduhan yang dibuat dalam dua blog pro-Umno, yang kemudiannya disiarkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia Jumaat lalu.
Blog tersebut mendakwa DAP berpakat dengan pastor Kristian untuk menjadi Kristian agama rasmi negara, supaya penganut Kristian boleh
menjadi perdana menteri.
Ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi dinamakan oleh blog tersebut sebagai pemimpin DAP yang menghadiri mesyuarat itu serta menyertai sesi
berdoa bersama dengan pastor.
Ooi telah menafikan tuduhan tersebut dan membuat laporan polis Ahad lalu terhadap Utusan dan dua penulis blog berkenaan.
Pertubuhan Melayu PERKASA juga membuat laporan polis di seluruh negara, menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya.
Sementara itu, CFM mendesak perdana menteri dan menteri dalam negeri supaya mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana "mencetak dan menyebarkan pembohongan merbahaya seumpama itu".