Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno sasar daftar 140,000 pengundi
Diterbitkan:  May 8, 2011 7:45 PM
Dikemaskini: May 9, 2011 1:02 AM

Pergerakan Pemuda Umno mensasarkan untuk mendaftarkan lebih 400,000 anggota Umno termasuk 140,000 daripada Pemuda sebagai pengundi sebelum Jun ini.

Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno Mohd Hisamudin Yahaya berkata ia perlu disegerakan kerana mengikut perangkaan terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdapat lebih 3.9 juta rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun belum mendaftar sebagai pengundi.

Bagi mencapai sasaran itu, Pemuda Umno akan menubuhkan kumpulan petugas khas dengan diketuai ketua pergerakannya Khairy Jamaluddin bagi mendaftarkan golongan muda di lebih 6,000 peti undi di seluruh negara dalam masa terdekat, katanya kepada pemberita di Parit hari ini.

Beliau berkata Khairy akan membentangkan cadangan penubuhan pasukan petugas khas itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno pada mesyuarat pengurusan parti tidak lama lagi.

Mohd Hisamudin turut meminta semua 191 Ketua Pemuda Umno Bahagian melipatgandakan usaha untuk mendaftarkan anggota masing-masing dengan menyediakan kaunter pendaftaran pemilih setiap kali program atau aktiviti dijalankan.

Semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan empat perkara yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin dan jentera Umno mulai sekarang bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kejayaan besar pada pilihan raya umum akan datang.

Empat perkara itu ialah mengenai pendaftaran pemilih, mengukuhkan perhubungan setiap peringkat dalam parti dan komponen BN, turun padang dengan mengambil berat masalah rakyat dan wujudkan hubungan strategik dengan persatuan dan badan bukan kerajaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS