Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan BN supaya tidak terus “memperbodohkan” rakyat negara ini terutamanya orang Melayu melalui “pembohongan” semata-mata untuk berkuasa, lapor TV Selangor .
Berucap pada ceramah perdana isu-isu semasa dalam siri jelajahnya malam tadi, Anwar berkata, Umno di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak kini berada dalam keadaan semakin terdesak terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang diramalkannya sebelum bulan Ramadan ini.
“Saya benci sikap pimpinan Umno yang anggap orang Melayu bodoh. Asal baca Utusan Malaysia dia anggap bodoh semua. Jangan berikan maklumat palsu. Semua kenaikan harga dan kos barangan naik jangan beritahu. Maknanya dia anggap rakyat ini bodoh,” katanya.
“Bila saya datang, orang tengok muka saya... ada yang tengok perut saya... ini celaka punya Umno,” katanya secara berseloroh.
Malah ujar Anwar, serangan bertali arus Umno terhadap beliau dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat jelas menunjukkan sikap cemas BN yang semakin hilang kepercayaan rakyat.
“Sebab apa Najib tuduh saya macam itu? Ini budaya apa? Budaya Melayu? Budaya Cina? Budaya India? Budaya apa ini?... budaya Najib.
Pergunakan media
“Sebab apa dia serang (Datuk) Nik Aziz (Nik Mat)? Sebab apa serang (Datuk Seri) (Abdul) Hadi (Awang)? Sebab apa mereka serang saya? Ini sebab mereka berasa cemas,” katanya di hadapan kira-kira 4,000 orang di Madrasah Darul Iman, Kedai Buluh di Kuala Terengganu.
Tegas Anwar, rakyat terutamanya orang Melayu diperbodohkan dengan tindakan Umno yang mempergunakan media bagi mengelakkan segala kelemahan mereka terbongkar.
“Kenapa saya kata rakyat diperbodohkan? Media kita dikongkong, adakah rakyat tahu masalah ekonomi negara? Tidak... adakah rakyat tahu masalah-masalah yang dihadapi negara? Sudah tentu tidak.
“Sebab itu, saya kata rakyat perlu buat perubahan, orang muda kena ikut trend... orang muda kena berfikiran terbuka... berfikiran bebas untuk menjatuhkan pemimpin yang zalim, rasuah dan mengawal semuanya,” katanya.
Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata, sekiranya Umno masih berkuasa segala masalah atau penyalahgunaan kuasa yang berlaku tidak akan diketahui rakyat termasuk kes jenayah dan rasuah.
“Kalau sokong Umno, kes bunuh... kes rasuah... kes rogol, semua akan tutup kes.
“Tapi kalau kita tidak bersetuju dan tentang mereka, yang tidak ada akan mereka adakan (ciptakan)... jangan bagi maklumat kepada rakyat, Umno anggap rakyat bodoh,” katanya.
Anwar juga berkata, Umno juga akan memperalatkan apa sahaja termasuk agama bagi memastikan tiada sesiapa yang boleh mencabar kepimpinan parti itu.
“Kes (liwat) saya, bila saya minta dibawa ke mahkamah syariah tidak dibenarkan, malah menteri agama Umno yang halang saya untuk dibicarakan di mahkamah syariah.
“Jadi ini macam mana? Bila saya mahu cabar di mahkamah syariah mereka halang saya,” katanya merujuk kes liwat yang melibatkan Mohd Saiful Bukhari Azlan tiga tahun lalu.
“Sudah tiga tahun tapi tiada apa yang berlaku, saya tidak buat tapi kata saya buat,” tambah Anwar.
Kes liwat yang melibatkan Anwar itu masih berjalan di mahkamah.
Mahkamah akan menentukan sama ada Anwar akan dipanggil membela diri ataupun sebaliknya pada 16 Mei ini.
Anwar didakwa meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.