Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa agar tidak melayan tuntutan sumpah balas berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan dirinya.
Menurut ahli akademik Prof Dr Ashraf Md Hashim ( tengah ) gesaannya itu bertujuan mendidik masyarakat khususnya umat Islam berhubung isu bersumpah laknat yang berulang-kali berlaku di kalangan masyarakat
"(Pertama) kalau ikut syara' tidak perlu (bersumpah) dan ia tidak dituntut oleh syara' kerana dalam (jenayah) hudud, tidak ada sumpah.
"Tapi kalau nak sumpah juga, itu bukan syariat yang tuntut. Bagi saya, masyarakat kena didik juga, kalau bersumpah jugak nanti lepas ini orang macam tu (bersumpah) jugak.
"Sumpah, sumpah tak habis-habis. Masyarakat perlu dididik apa sebenarnya yang dituntut oleh syariat. Tapi kalau tidak dituntut oleh syariat, tak payah," katanya.
Tegas Dr Ashraf lagi gesaan itu juga ditujukan kepada parti politik tertentu supaya "keadaan yang memalukan" itu tidak mengaibkan masyarakat Islam.
"Kalau nak main politik, main cara lain lah. Kalau ini hal politik (terutama kepada) kedua-dua pihak," katanya yang juga mantan exco Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Pada 29 April lalu, Datuk Shazryl Eskay Abdullah - seorang anggota trio Datuk T - muncul di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul bagi melakukan sumpah laknat.
Dengan memegang senaskhah Al-Quran beliau melafazkan kata-kata berikut:
"A'uzubillahi minal syaitanirrajim. Bismillah irahman irrahim. (Mengucap 3 kali). Pada hari ini, 29 April 2011, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya Shazryl Eskay Abdullah berikrar dan bersumpah seperti berikut: A'uzubillahi minal syaitanirrajim, wallahi, wabillahi, watallahi, aku bersumpah bahawa aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video yang dirakamkan pada 21 Februari 2011. Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video tersebut. Sekiranya aku melakukan fitnah, maka Allah akan melaknat akanku."
Memulihkan moral
Beliau bersama bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim bertanggungjawab menayangkan video seks kepada sekumpulan wartawan sebelum ini.
Pita video itu memapar seorang lelaki yang didakwa mirip ketua pembangkang yang juga ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas ada cadangan supaya Anwar yang juga ketua pembangkang bersumpah mubahalah bagi "menjernihkan suasana" Ashraf berkata:
"Wallahua'lam. Mungkin jernihkan suasana sekali itu, lepas itu, si A (bersumpah), kemudian si B pulak"... tak habis-habis kita (bersumpah)".
Dr Ashraf yang juga penyelidik kanan di sebuah akademi kewangan mengulas pandangan seorang hadirin dalam diskusi 'Hukum Qazaf dan Sumpah Menurut Syari'ah' di Dewan Pembangunan Belia Islam Taman Cemerlang Gombak, petang semalam.
Diskusi tersebut dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan dihadiri kira-kira 70 orang.
Turut dijemput sebagai panel diskusi itu adalah tiga tokoh agama termasuk pengamal undang-undang iaitu Naib Presiden Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH) Dr Abdul Halim El-Muhammady, wakil Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Dr Mohd Fauzi Zakaria dan timbalan presiden Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia (PPSM) Musa Awang.
Mengulas perkara yang sama, Musa ( bersongkok ) juga turut bersependapat dengan Ashraf bahawa Anwar yang juga ketua pembangkang tidak perlu bersumpah laknat seperti mana yang dituntut oleh pelbagai pihak.
"Kadang-kadang saya berfikir Datuk Seri Anwar perlu bersumpah untuk memulihkan moral, sebab moralnya sudah tercalar, orang sudah tuduh dia (berzina)
"Tetapi melihat dari segi konsep bersumpah, ia tidak perlu dilayan. Sumpah tidak perlu dibuat.
"Ini kerana, sumpah pada asalnya sudah tidak betul. Kenapa perlu menjawab sumpah yang tidak betul. (Dengan) cara dan tempat (bersumpah) tidak betul," katanya.