Bekas majikan Nirmala Bonat hari ini gagal dalam cubaan mendapatkan jaminan kos sebanyak RM50,000 sementara menunggu saman bekas pembantu rumah yang didera itu dilupuskan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara menolak rayuan Yim Pek Ha ( kiri ) dan suaminya, Hik Ik Ting selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.
Peguam M Kavimani yang mewakili Nirmala memberitahu pemberita hakim menolak rayuan pasangan itu terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi V Vanita, dengan kos sebanyak RM3,500.
Permohonan itu dibuat bagi menjamin kos perundangan jika Nirmala gagal dalam saman terhadap pasangan suami isteri berkenaan kerana bekas pembantu rumah tersebut pulang ke kampung halamannya di Indonesia.
Pada 28 Januari tahun lalu, Nirmala menyaman Yim dan Hik menuntut ganti rugi bagi kecederaan dan penderitaan yang terpaksa dilaluinya ketika bekerja untuk pasangan itu bagi tempoh kira-kira sembilan bulan. Beliau mendakwa dicederakan dengan besi dan air panas, cawan besi serta penyangkut baju plastik.
Nirmala juga menuntut ganti rugi bagi kehilangan keselesaan, kos perubatan, penghinaan, penderitaan fizikal dan mental serta parut kekal.
Selain itu, beliau menuntut RM28,545 bagi kerugian kerana hilang pendapatan dan RM10,616 untuk kos lain.
Yim, seorang suri rumah, dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala.
Bagaimanapun, selepas merayu di Mahkamah Tinggi, hukumannya dikurangkan kepada 12 tahun.
Dia dihadapkan ke mahkamah dengan empat pertuduhan mencederakan Nirmala di Kondominium Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini antara Januari dan Mei 2004.
- Bernama