Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Guna apa saja 'senjata' rampas Selangor
Diterbitkan:  May 6, 2011 7:56 AM
Dikemaskini: May 6, 2011 3:23 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa anggota Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum  2008 dan bangkit bagi memastikan BN dapat merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 yang disifatkannya "sudah hampir tiba".

najib tun razak may 2011 Najib, yang juga Presiden Umno berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang, warga Umno Selangor perlu menggunakan apa sahaja 'senjata' yang dimiliki mereka.

"Kita tidak harus membiarkan maruah parti terus tercemar dan tercalar dengan terus bersedih kerana kekalahan lepas.

"Kita juga tidak boleh terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kehilangan keyakinan kita, sebaliknya kita mesti menyusun semula barisan, kuatkan iltizam dan semangat juang serta bangkit menebus kekalahan dengan semangat juang yang tidak tahu erti kalah," katanya.

Berucap pada majlis 'Malam Pemimpin Bersama Rakyat-Rakyat Didahulukan' di Shah Alam, malam semalam, Najib, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, mahu semangat seumpamanya diterapkan dalam diri setiap warga Umno negeri tanpa mengira usia.

    

"Kalau British kita boleh kalahkan kerana kita berjuang berhabis-habiskan, takkan lah Umno Selangor tidak boleh bangkit dari peristiwa itu (kekalahan pada pilihan raya umum lalu).

NONE "Segala kekurangan dan kezaliman kerajaan negeri hari ini di Selangor mesti diperbetulkan," katanya.

Najib juga mengingatkan bahawa dalam sistem demokrasi terbuka, sejarah kegemilangan sesebuah parti politik tidak menjamin kelangsungan kuasa mereka.

"Sejarah itu sepatutnya kita ambil sebagai iktibar kerana politik adalah suatu bentuk 'game', yang berkisar kepada nombor dan persepsi.

"Sebagai contoh dalam sesebuah negeri mempunyai majoriti pengundi Melayu, tetapi tidak bersatu, maka tidak akan membawa sebarang kesan seperti yang diharapkan," katanya.

NONE Mengulas mengenai kumpulan veteran Umno, Najib berkata, dalam konteks perjuangan, tidak ada noktah bagi perjuangan anggota parti selagi nyawa dikandung badan dan kudrat masih ada.

"Kita banyak terhutang budi kepada ahli veteran Selangor, paling besar nilai sumbangan veteran Umno Selangor ialah melalui kepimpinan mereka selama ini yang menjadikan Selangor sebagai negeri yang paling maju.

"Kejayaan yang dikecapi hari ini bukan pimpinan negeri tetapi pimpinan Umno yang telah memberikan sumbangan dan nilai kepada pembangunan dan kejayaan Selangor," katanya.

Majlis anjuran Kelab Veteran Umno Selangor itu antara lain bertujuan mengisi tabung Veteran Umno bagi membolehkannya meneruskan pelbagai aktiviti bagi membangunkan masyarakat, khususnya golongan veteran parti itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS