Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menjelaskan gesaan penyatuan Umno dan PAS yang diutarakannya semalam bukanlah bermaksud kedua-duanya perlu bergabung sebagai satu parti.
"(Ia) penyatuan dalam erti kata kerjasama dalam urusan kepentingan Islam dan negara.
"Duduk semeja, kurang maki (sesama lain), kurang politiking , tumpu pada kepentingan rakyat dan negara. Penyatuan tak semestinya (melalui) satu parti," katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan di muka depan, Dr Juanda menyifatkan pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam dan boleh dianggap pendukung fikrah Khawarij yang amat bencikan kesatuan.
Beliau dilaporkan berkata, penyatuan kedua-dua parti itu sebenarnya wajib, khususnya untuk kekuatan Islam.
Juanda berkata, al-Quran sendiri, antaranya melalaui ayat 13 surah Asy-Syura memerintahkan supaya umat Islam bersatu padu dan Islam perlu ditegakkan.
Najib pada 30 April lalu ini berkata, walaupun PAS enggan menyertai Umno dan BN, parti Islam itu patut keluar Pakatan rakyat kerana rakan mereka DAP tidak pernah memperjuangkan Islam.
Kenyataan yang dianggap sebagai pelawaan itu bagaimanapun ditolak keras pelbagai pemimpin kanan PAS, termasuk oleh Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.