Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Istanbul untuk memulakan lawatan tiga hari ke Turki.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Atartuk pada 11.50 malam waktu tempatan (4.50 pagi waktu Malaysia) disambut oleh Duta Malaysia ke Turki Datuk Saipul Anuar Abdul Muin.
Rosmah diiringi oleh isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Delegasi itu turut disertai 15 anggota Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), usahawan wanita dan pegawai kanan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta SME Corporation.
Rosmah dijadual menghadiri dan menyampaikan ucaptama bertajuk 'Kemajuan Wanita Malaysia dalam Perniagaan dan Ekonomi' pada Sidang Kemuncak Wanita Global 2011, pada Khamis.
Sidang kemuncak itu bermatlamat menemukan tokoh terkemuka untuk merangka hala tuju, strategi dan program ke arah meningkatkan pencapaian wanita dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.
Selain itu, ia turut menyediakan peluang kepada para peserta bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman berhubung amalan terbaik untuk meningkatkan tahap ekonomi di negara masing-masing.
Semasa lawatan itu, Rosmah akan diberi penghormatan untuk membunyikan loceng pembukaan urusniaga Bursa Saham Istanbul pada Rabu pagi.
Selain itu, beliau merupakan salah seorang anggota panel Forum Wanita Pertama, yang akan diadakan pada Jumaat, bersama-sama dengan isteri Perdana Menteri Turki Emine Erdogan, dan Wanita Pertama Namibia Penehupifo Pohamba.
Beliau juga dijangka menghadiri sesi dialog dan jaringan Pertubuhan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana bersama Usahawan Wanita Malaysia.
- Bernama