Cadangan penubuhan sebuah Majlis Perundingan Media oleh kerajaan minggu lalu mendapat sambutan dingin oleh beberapa ahli veteran media yang beranggapan tindakan itu cuba mengekang lagi kebebasan bersuara di negara ini.
Bercakap di forum bagi menyambut Hari Kebebasan Akhbar Dunia di Universiti Industri Selangor hari ini, editor politik, the Sun Zainon Ahmad berkata penubuhan majlis berkenaan tidak seharusnya membabitkan pihak kerajaan langsung.
Malah, kata Zainon yang telah berkecimpung dalam industri berkenaan selama lebih tiga dekad, pihak media telah mencadangkan sebuah majlis yang ditadbir mereka sendiri sejak tahun 1970an tetapi tidak mendapat kelulusan.
"Hubungan media-kerajaan umpama landasan keretapi, selari tetapi tidak bertembung, jika tidak keretapi akan terbabas.
"Jika mereka (media dan kerajaan) bergandingan tangan dan jalan bersama, rakyat tidak akan dapat manfaat, tetapi di sini kedua-dua mereka pula saling berdakapan,” katanya sambil disambut gelak ketawa oleh kira-kira 500 para hadirin.
Zainon berkata walaupun butiran penubuhan Majlis Perundingan Media itu masih samar, namun pengamal media terus sangsi kerana media di negara itu kini suudahpun dibelenggu oleh banyak undang-undang yang mengekangnya.
Katanya, beliau menjangkakan Kementerian dalam Negeri dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebidayaan akan berjumpa dengan penerbit dan editor menjelang akhir bulan ini bagi membincangkan perkara berkenaan.
"Dengan dua menteri di sana, saya beranggapan para editor dan penerbit akan berkata 'Baik, Datuk Seri’, tetapi saya berdoa apa yang saya katakan itu tidak akan jadi kenyataan,” katanya.