Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau telah meminta maaf kepada Perdana Menteri China Wen Jiabao berhubung satu kesilapan bahasa di latar pentas bagi satu majlis sambutan rakan sejawatannya itu.

Ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini, Najib berkata Wen telah menerima permohonan maafnya itu.

NONE "Jadi kita anggap isu ini sudah selesai," katanya sambil menyatakan pihaknya masih menyiasat punca kesilapan itu.

"Kita masih siasat. Tujuan (tulisan di latar belakang pentas) itu adalah untuk menunjukkan keghairahan kita dalam kunjungan perdana menteri China.

"Tapi malangnya, keghairahan itu satu perkara, kecekapan untuk menterjemah itu satu perkara lain.

"Jadi, ianya bukanlah disengajakan... Tak perlulah diperbesar-besarkan," katanya lagi selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu negara hari ini.

Semalam, kesilapan struktur ayat dan tatabahasa yang serius dalam bahasa Cina yang serius dan memalukan dikesan pada latar belakang pentas majlis sambutan rasmi Wen di Putrajaya.

Wartawan dan tetamu yang faham bahasa Cina terkejut melihat latar belakang itu. Begitu juga dengan beberapa menteri Malaysia yang berbangsa Cina tetapi sudah terlambat untuk membuat sesuatu.

Wen berada di Malaysia untuk lawatan dua hari bagi membalas kunjungan Najib ke China dua tahun lalu.

Ia adalah lawatan kedua Wen ke Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-China pada 2005.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS