Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zambry kesal PKNP tak maklum MoU projek sensitif
Diterbitkan:  Apr 29, 2011 6:03 PM
Dikemaskini: 12:14 PM

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini melahirkan rasa kesal dengan pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) kerana menandangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat dari Hong Kong tanpa memaklumkan perkara itu terlebih dahulu kepada kerajaan negeri.

    

"Saya nak bagi amaran juga kepada (semua) agensi supaya sebarang bentuk MoU yang hendak dibuat hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada kerajaan negeri...walaupun mereka anggap ini bukan merupakan satu yang terikat dengan undang-undang, maksudnya bukanlah satu benda yang akan dilaksanakan.

dr zambry abd kadir perak new cm bn 050209 "Walaupun hanya sekadar bentuk persefahaman, namun perkara-perkara yang sensitif dan sebagainya hendaklah terlebih dahulu dimaklumkan kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita  di Ipoh hari ini.

    

Beliau berkata demikian bagi mengulas kontroversi berhubung laporan sebuah portal sebelum ini bahawa sebuah syarikat Hong Kong dan kerajaan Perak telah bersetuju untuk menerokai dan melombong nadir bumi di Bukit Merah.

    

Laporan itu menimbulkan bantahan beberapa pihak yang bimbang mengenai kesan radiasi daripada projek itu.

Zambry berkata menjadi tanggungjawab PKNP untuk memaklumkan kepada kerajaan negeri kerana sebarang perkara yang membabitkan soal dasar kerajaan negeri harus dimaklumkan terlebih dahulu.

    

Katanya, sebagai sebuah agensi kerajaan negeri, ia tidak boleh mengambil sebarang tindakan sesuka hati terutama yang berkaitan perkara sensitif.

Portal berita berkenaan melaporkan pemakluman bertarikh 18 April kepada Bursa Saham Hong Kong menunjukkan CVM Minerals Limited telah mengumumkan yang ia telah menyertai memorandum persefahaman dengan PKNP bagi menjalankan projek itu di Bukit Merah.

    

Syarikat Hong Kong itu, menerusi subsidiari CVM Metal Recycle Sdn Bhd, telah memohon kepada Pejabat Tanah dan Galian negeri Perak satu lesen untuk menerokai kawasan seluas 250 hektar bagi melombong nadir bumi.

    

Bukit Merah merupakan kawasan bagi loji nadir bumi di Malaysia 20 tahun lalu, yang masih berhadapan dengan kerja pembersihan.

    

Ketua Eksekutif PKNP Datuk Samsudin Hashim semalam berkata MoU itu hanya memberi kebenaran kepada Syarikat CVM Mineral Limited untuk melaksanakan kajian kemungkinan melombong sisa nadir bumi dan tiada kelulusan projek nadir bumi diberikan.

    

MoU itu hanya membenarkan firma itu untuk mengkaji elemen daya maju operasi perlombongan nadir bumi di Bukit Merah, katanya.

    

- Bernama

ADS