Yong Vui Kong rakyat Malaysia berasal dari Sabah sedang merengkuk di penjara Singapura. Beliau menunggu hukuman bunuh ke atasnya dilaksanakan kerana kesalahan mengedar dadah.
Malaysiakini akan menyiarkan surat-surat terakhir Yong sepanjang 12 minggu ini kepada Yetian, seorang anggota kempen Selamatkan Vui Kong pada saat-saat beliau menghadapi kematian.
Yetian,
Yun Leong membawa surat awak apabila dia melawat saya pada hari Isnin. Katanya, surat pertama telah disiarkan.
Terima kasih dan terima kasih juga kepada mereka yang tidak saya kenali tetapi sudi membantu saya. Terima kasih juga kepada mereka yang membaca surat saya. Saya berharap lebih ramai dapat membacanya. In sahaja cara yang dapat saya berhubung dengan dunia luar.
Yetian, awak kata hidup ini amat berharga.
Bagi saya, hidup atau nyawa adalah perkara terpenting dalam dunia. Banyak benda lain yang amat berharga bagi diri saya. Malah jika awak mempunyai wang yang banyak ataupun memiliki harta kebendaan yang tidak terkira, awak cuma mempunyai satu nyawa.
Pada masa lalu, saya tidak menghargai kehidupan saya. Kemudian, baru saya sedari mereka yang tidak menghormati kehidupan mereka sendiri tidak boleh mengharapkan orang lain bagi menghormati mereka.
Selepas mendekati ajaran Buddha, baru saya sedar saya mempunyai tanggungjawab dalam kehidupan ini.
Saya menyaksikan seorang demi seorang tahanan hilang nyawa mereka kerana mereka jahil ataupun dengan senang terpedaya. Saya sedari saya juga akan menjadi seperti mereka. Justeru, saya ingin menggunakan sisa hidup ini untuk menceritakan kisah saya kepada orang ramai.
Saya ingin gunakan falsafah Buddha untuk beritahu orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan dan tidak tercampak menunggu hukuman mati seperti saya kerana kesalahan dadah. Saya ingin nasihatkan awak supaya jangan mengambil dadah kerana ia menjahanamkan kehidupan.
Mengimbas kembali hari Yun Leong datang melawat saya di pusat tahanan, saya menangis seperti anak kecil. Saya begitu takut. Tangan dan kaki saya menggeletar semasa saya menangis teresak-esak dan saya sedari segala keberanian dan ketabahan selama ini ranap begitu sahaja.
Saya takut menghadapi kematian. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada saya selepas mati.
YONG VUI KONG, dijatuhkan hukuman mati pada November 2009 kerana mengedar dadah. Beliau hanya berusia 19 tahun. Pada 4 April lalu, beliau gagal dalam rayuan terakhirnya bagi mengelakkan hukuman mati mandatori.
Dia akan digantung dalam tempoh tiga bulan kecuali diberikan pengampunan oleh presiden Singapura.