Seorang penjaga burung layang-layang dijatuhi hukuman penjara setahun kerana cuai sehingga menyebabkan kematian dua penuntut kolej kejururawatan selepas keretanya menjunam di Kompleks Membeli belah KB Mall pada 2009.
Masjistret Norhaslinda Che Seman menjatuhi hukuman itu setelah Mohd Sabri Jusoh, 29, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan disabitkan bersalah.
Dia dituduh menyebabkan kematian dengan cuai terhadap Siti Amira Shamsudin, 19, dan Siti Nur Dianah Azman, 23, di kawasan Kompleks Membeli Belah KB Mall, pada 5.10 petang, 6 Disember 2009.
Mohd Sabri didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Media sebelum ini melaporkan, dua penuntut kejururawatan Kolej Masterskill Kota Bharu meninggal dunia, manakala seorang rakan mereka cedera parah ditimpa kereta Ford Laser yang terjunam dan menimpa mangsa dari tempat letak kereta di tingkat tiga KB Mall itu selepas merempuh dinding lubang angin di situ.
Siti Amira, dari Gua Musang, mati di tempat kejadian manakala rakannya, Siti Nur Dianah, dari Wakaf Bharu, Tumpat, meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
Rakan kolej mereka, Rashidah Ahmad Lotfi, 24, dari Jerteh, Terengganu dan pemandu kereta, Nor Ain Said, 19, yang cedera parah pada kepala, telah dirawat di hospital yang sama.
- Bernama