Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Beban yang digalas oleh PKR untuk bertanding di 49 kerusi, termasuk yang sukar dimenangi pada pilihan raya Sarawak, 16 April lalu akan dibawa ke mesyuarat Pakatan Rakyat, kata pengarah strateginya, Rafizi Ramli .

Pada pilihan raya itu, PKR yang sepatutnya bertanding di 25 DUN sahaja tetapi akhirnya terpaksa bertanding di 24 kerusi tambahan bagi mengelakkan BN menang percuma pada hari penamaan calon.

NONE "Saya berpendapat beban ini sepatutnya dikongsi bersama (dengan parti lain dalam Pakatan)," katanya ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu.

Dalam pilihan raya negeri lalu, Pakatan menang di 15 kerusi. PKR mendapat tiga daripada 49 kerusi manakala DAP pula berjaya di 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi.

PAS gagal di semua lima kerusi yang ditandinginya. Kesemua 71 kerusi dipertandingkan.

Dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini, Rafizi berkata, jika mereka memberikan laluan mudah kepada BN di 25 kerusi lagi, sudah tentu keyakinan pengundi pada Pakatan tidak diperoleh.

"Kalau kita bertegas bertanding 25 kerusi sahaja, BN memang 24 tanpa bertanding pada hari penamaan. Mereka hanya perlu 12 lagi untuk membentuk kerajaan. Jadi, semua slogan ubah yang kita laungkan tidak akan berguna lagi," katanya.

'Pengkhianatan SNAP'

Menurutnya lagi, dengan menang hanya di tiga daripada 49 kerusi yang ditandingi, ia memberi konotasi seolah-oleh parti tunjang dalam Pakatan itu lemah.

"Ini berbeza kalau kita menang tiga daripada 25 (kerusi)," katanya lagi.

snap anthony belon campaign Sementara itu, menyentuh soal cadangan penggabungan DAP dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Rafizi berpendapat, berdasarkan realiti, ia tidak memberikan jalan pintas kepada DAP untuk meluaskan sayap kepada masyarakat Iban.

"Akhirnya mereka kena turun juga semula ke bawah. Samalah prosesnya," katanya sambil mendakwa pengkhianatan SNAP masih belum boleh dilupakan.

Katanya, sampai sekarang pihaknya masih belum mendapat penjelasan, antaranya berhubung dakwaan bahawa parti tertua Dayak di Sarawak itu mendapat tajaan daripada BN.

Kegagalan rundingan PKR dan SNAP sebelum ini menyebabkan Pakatan gagal bertembung satu lawan satu dengan BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS