Raja Petra Kamarudin dikunjungi polis di hotel, di Bangkok berhubung wawancaranya berkaitan akuan bersumpah yang mengaitkan pembunuhan Altantuya Shaariibu dengan isteri perdana menteri.
Menurut penulis blog itu, isterinya dan peguam Haris Ibrahim turut menyertai sesi yang disifatkannya sebagai "lawatan sosial" dan "perbualan mesra" itu.
"Mereka tidak lagi perlukan saya pergi ke kedutaan Malaysia untuk kenyataan saya dirakamkan, mereka beritahu saya begitu.
"Ini hanya lawatan sosial. Mereka hanya mahu friendly chat (perbualan mesra)," katanya.
Semalam, Raja Petra dilaporkan tidak memberi kenyataannya kepada polis Malaysia di Bangkok semalam, selepas peguamnya mempertikaikan mengapa ia mahu dibuat di kedutaan Malaysia.
Bernama melaporkan, atas nasihat peguam, dipersetujui supaya rakaman kenyataannya dibuat "di tempat berkecuali", seperti di hotel penginapannya.
Menulis dalam Malaysia Today hari ini, Raja Petra mendedahkan, perbualan itu keseluruhannya berkaitan wawancaranya dengan TV3 di Australia.
"Ada sedikit 'ruang' tidak disentuh dalam wawancara itu, yang mana mereka perlu pertolongan saya untuk mengisinya.
"Harus difahami, penemuramah TV3 itu bukan pegawai polis, jadi dia tidak bertanya soalan yang polis sepatutnya tanya.
"Lagi pun, ia wawancara, bukan siasatan jenayah," tulisnya lagi.