Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Husam: Fokus jatuhkan BN, bukan pemimpin PAS
Diterbitkan:  Apr 23, 2011 9:42 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Husam Musa menegaskan bahawa parti itu perlu fokus dalam usaha menumbangkan BN bukannya menjatuhkan kepimpinan sendiri sedia ada.

pas muktamar nasharuddin win post 060609 husam pc 01 Beliau yang dipetik Harakahdaily berkata, kepimpinan PAS yang diterajui presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih diperlukan dan Hadi sendiri adalah paling layak menerajui PAS buat masa ini.

“Isu presiden dicabar atau tidak, kita tidak perlu memberi respons secara berlebihan, nanti orang akan kata presiden kita ada masalah. Tapi sebenarnya tidak ada... yang nak jatuhkan Hadi adalah BN bukan PAS,” katanya.

Beliau yang juga bekas naib presiden PAS berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan PAS kawasan Batu di Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, apa yang penting kepada PAS sekarang adalah proses "penyegaran" semula dengan dibawa elemen-elemen baru yang boleh memperkukuhkan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Justeru kata beliau, usaha yang perlu diberi perhatian ialah sasaran menjatuhkan BN, bukannya Hadi selaku salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat.

pas muktamar 55 agm assembly 050609 hadi awang Hadi juga disifatkannya sebagai "terbukti" layak untuk terus menyandang jawatan Presiden kerana sudah menghadapi banyak cabaran.

“Cuma apa yang diperlukan PAS adalah ia harus disegarkan semula, bukan bermaksud ganti orang sedia ada tapi disegarkan dengan melakukan transformasi, elemen-elemen baru dalam parti... mungkin boleh dapatkan penasihat dari golongan profesional untuk bantu memperkuatkan PAS,” kata Husam.

Sebelum ini PAS kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan beliau bertanding jawatan presiden pada muktamar parti itu yang akan diadakan mulai 3 hingga 5 Mei ini.

Bagaimanapun, Husam telah menyatakan hasratnya yang tidak berminat dan mahukan Hadi untuk terus menerajui kepimpinan PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS