Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan bahawa masyarakat Cina sentiasa menentang kerajaan dan tidak pernah menyokong BN.
"Sebelum ini, komuniti Cina memberi sokongan teguh kepada BN seperti ketika pilihan raya umum 1999 yang membantu parti memerintah memperoleh majoriti dua pertiga.
“Jadi tidak benar jika kita kata Cina tidak pernah sokong BN. Tetapi ada keperluan mereka yang perlu kita selesaikan," katanya ketika menghadiri Pesta Buku Antarabangsa, di Kuala Lumpur hari ini.
Ditanya apa yang perlu dilakukan oleh BN bagi mendapatkan sokongan semula undi Cina yang sekarang ini dilihat telah mengalir kepada pembangkang, Dr Mahathir berkata banyak perlu dilakukan.
Katanya, kerajaan perlu menimbang keperluan masyarakat Cina di negara ini termasuk menyediakan peluang perniagaan yang lebih banyak bagi meraih sokongan mereka.
Ini kerana kata Dr Mahathir, sebagai komuniti yang berorientasikan perniagaan, kaum Cina memerlukan peluang yang banyak dan berterusan bagi mengembangkan perniagaan mereka.
"Dan awak sedar semasa pemerintahan perdana menteri kelima, tidak ada projek langsung ataupun peluang bagi orang Cina membuat perniagaan. Jadi mereka ke luar negara dan cukup tidak berpuas hati,” katanya dengan nada sinis.
"Saya berpendapat orang Cina di negara ini tahu bagaimana mereka telah menjadi maju dan kaya. Negara ini ada banyak peluang bagi orang Cina dan saya yakin mereka pun tahu,” kata Dr Mahathir sambil menjadikan jutawan Genting, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong sebagai contoh.
Dr M: Wujudkan perpustakaan di rumah
Sementara itu, Bernama melaporkan Dr Mahathir menyarankan golongan berkemampuan di negara ini mewujudkan perpustakaan di kediaman mereka dan mengisinya dengan buku atau karya yang berharga.
Beliau berkata ini adalah amalan di negara barat seperti Amerika Syarikat, yang mana orang kaya di sana mewujudkan perpustakaan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis buku lama, yang kemudiannya didermakan kepada perpustakaan selepas meninggal dunia.
"Sepatutnya orang-orang yang kaya di Malaysia ini membina perpustakaan mengandungi buku yang berharga, dan apabila mereka meninggal dermakan buku kepada perpustakaan untuk orang ramai," katanya kepada pemberita hari ini.
Dr Mahathir turut meluangkan masa menandatangani karya beliau ''A Doctor in the House'' yang dibeli pengunjung di pesta yang bermula hari ini itu.
- Bernama