Tambang keretapi Bukit Bendera akan dinaikkan sekali ganda iaitu sebanyak RM8 bagi orang dewasa dan RM4 bagi kanak-kanak rakyat tempatan mulai 1 Mei ini.
Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Datuk Lee Kah Choon berkata, tambang baru untuk pelancong asing pula ialah sebanyak RM30 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak.
Kadar tambang baru itu adalah disebabkan peningkatan kos operasi kereta api jenis elektrik yang lebih moden berbanding sebelum ini yang digerakkan dengan kabel, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Perkhidmatan keretapi itu telah ditutup lebih setahun lepas dan kadar tambang sebelum ini ialah RM4 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak tanpa mengira pelancong tempatan atau asing.
Beliau berkata, bagi penduduk di Bukit Bendera, pengusaha dan pekerja di atas bukit itu, bayaran pas bulanan dikekalkan dengan harga RM24.
Lee berkata, kos operasi bagi setiap perjalanan keretapi ialah RM500 kerana ia menggunakan elektrik dan kos itu lebih tinggi berbanding keretapi kabel sebelum ini.
Beliau berkata, keretapi baru itu lebih laju serta menggunakan koc buatan Switzerland yang moden dan selesa untuk penumpang dan jadual perjalanan kereta api itu ialah setiap setengah jam mulai pukul 6.30 pagi hingga 9 malam setiap hari.
"Selepas menaik taraf, ia kini boleh membawa sehingga 50 penumpang dan mengambil masa selama 10 minit untuk perjalanan sehala, berbanding 30 minit sebelum ini," katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa aspek keselamatan keretapi berkenaan adalah bertaraf antarabangsa.
Projek naik taraf keretapi oleh kerajaan persekutuan itu melibatkan kos RM73 juta bagi menggantikan jenis furnikular yang digunakan sejak 1923.
Bukit Bendera ialah salah sebuah destinasi pelancongan yang menarik di Pulau Pinang.
- Bernama