Pemimpin PAS tidak perlu berasa risau atau bertindak terburu-buru apabila diuar-uar akan dicabar pada pemilihan parti yang akan berlangsung pada Jun ini.
Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Harun berkata mereka sebaliknya harus menilai sendiri sama ada mereka berjuang untuk parti atau kepentingan diri.
"Pemimpin tertinggi PAS termasuk presiden sendiri tidak perlu kalut apabila menghadapi keadaan sama ada dicalonkan atau mempertahankan diri dalam sesuatu jawatan," kata ADUN Bukit Tuku itu, di Rantau Panjang hari ini.
Beliau berkata pemimpin PAS yang matang juga tahu bahawa mereka yang benar-benar berwibawa tidak perlu menonjolkan diri agar dicalonkan, sebaliknya menunggu pencalonan daripada akar umbi.
"Malah, pemimpin tertinggi sendiri sedia berundur jika mereka merasakan tidak berkemampuan untuk terus memimpin atas sebab-sebab tertentu, termasuk faktor usia atau kredibiliti dipersoalkan. Sebab itu tidak pernah berlaku perebutan dalam PAS," katanya.
Abdul Fatah diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilapor berkata beliau sedia ditentang bagi jawatannya itu.
Sebelum itu, Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Husam Musa dicalonkan PAS kawasan Bukit Bintang untuk bertanding merebut jawatan presiden parti.
- Bernama