Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemilihan PAS yang dijadual berlangsung Jun ini semakin menarik apabila wujudnya kempen untuk menubuhkan kelab penyokong Mohamad Sabu yang akan bertanding jawatan timbalan presiden PAS.

mohamad sabu 040908 03 Kempen itu kini giat berjalan menerusi laman sosial Facebook yang turut mengumumkan - Kelab Mohamad Sabu Dot Com - bakal dilancarkan pada 6 Mei depan.

Paparan laman sosial itu turut mengumumkan pelancaran kelab itu akan berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSAH) pada jam 8 malam.

Kempen Facebook itu juga kini giat mempromosi untuk mengumpul individu yang berminat untuk menjadi ahli kelab tersebut. Mereka boleh mendaftar melalui laman sosial tersebut.

Ini adalah kali kedua Mohamad menawarkan diri bertanding jawatan nombor dua parti itu.

Dalam pemilihan parti dua tahun lalu, Mohamad tewas kepada penyandangnya Nasharuddin Mat Isa, dalam pertandingan tiga penjuru. Seorang lagi calon ialah Datuk Husam Musa.

husam musa mat sabu nasharuddin mat isa 220409 Nasharuddin mendapat 480 undi, Husam (281) dan Mohamad Sabu pula memperolehi 261 undi.

Tokoh aktivis yang popular sebagai 'Abang Mat' itu kini layak untuk bertanding jawatan tersebut selepas mendapat tiga pencalonan dari Kubang Kerian, Bukit Bintang dan Muar.

Mohamad Sabu dilapor menawarkan diri bertanding jawatan tersebut bagi membantu presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegakkan keadilan Islam khasnya di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

Mohamad yang pernah ditahan di bawah ISA, juga mahu membantu Abdul Hadi memperkukuhkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat dan NGO dengan melaksanakan tindakan politik bersama-sama untuk kepentingan rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS