Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Taib angkat sumpah jawatan KM
Diterbitkan:  Apr 16, 2011 10:43 PM
Dikemaskini: Apr 18, 2011 2:23 AM

Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah sebagai ketua menteri malam ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kejayaan BN mengekalkan majoriti dua pertiga di dewan undangan negeri.

Abdul Taib mengangkat sumpah berkenaan dalam satu majlis di Astana Negeri Sarawak, kira-kira setengah jam selepas SPR membuat pengumuman berkenaan malam ini.

Upacara itu mengangkat sumpah itu disempurnakan di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada kira-kira jam 10.40 malam ini.

BN secara rasmi memperoleh majoriti dua pertiga 48 kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak pada pukul 9.45 malam.

Bagaimanapun ia dianggap sebagai prestasi terburuk BN apabila parti itu kehilangan sehingga lapan kerusi pada kali ini.

Abdul Taib bagaimanapun berjaya mengekalkan kerusi DUN Balingian apabila keputusan pilihan raya negeri Sarawak ke-10 diumumkan pada malam ini.

Beliau menang dengan majoriti selesa 5,154 undi dalam pertandingan tiga penjuru ditentang sepupunya, Datuk Salleh Jafaruddin yang bertanding atas tiket Bebas dan juga seorang calon PKR yang pertama kali bertanding, Suriati Abdullah.

Selain Abdul Taib, pemimpin BN negeri termasuk presiden Parti Rakyat Sarawak, Datuk Seri James Masing dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan, masing-masing juga berjaya mengekalkan kerusi DUN Baleh dan DUN Pakan.

Dalam pilihan raya negeri kali ini BN memenangi 55 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Taib sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan ketua menteri dan ini adalah pilihan raya terakhir yang diketuainya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS