Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengadakan protes di Masjid Negara selepas solat Jumaat hari ini, bagi membantah 'Formula Idris Jala' berhubung isu Alkitab dalam bahasa Melayu.
Jurucakap PEMBELA, Yusri Mohamed mendakwa bahawa formula Idris Jala dibuat secara "tergesa-gesa dan tidak mengikuti lunas
undang-undang sedia ada".
"Isu kitab Injil (dalam bahasa Melayu) harus diselesaikan berdasarkan perlembagaan dan tidak harus diselesaikan mengikut jadual waktu
pilihan raya.
"(Penyelesaian itu dibuat kerana) tunduk kepada jadual pilihan raya," kata Yusri yang juga yang dipertua Yayasan Sofa - NGO gabungan PEMBELA.
"Sepatutnya kerajaan tangguh dahulu dengan mengikut proses, termasuk rayuan di mahkamah berhubung kalimah Allah," katanya kepada pemberita selepas memimpin bantahan mempertahankan kedaulatan Islam, selepas solat Jumaat.
Yusri dipercayai merujuk kepada pilihan raya negeri Sarawak yang akan berlangsung esok, kerana isu tersebut turut membabitkan penganut Kristian di negeri tersebut.
Perhimpunan PEMBELA menyatakan pendirian mereka mengenai isu-isu agama bagi mempertahankan Islam sebagai agama negara.
Malah, Yusri berkata ada kecenderungan sesetengah kumpulan "melampau-lampau" dalam menuntut apa yang bukan hak mereka.
Kira-kira 50 wakil 20 wakil NGO gabungan PEMBELA hadir menyertai bantahan tersebut. Perhimpunan itu turut disaksikan oleh jemaah yang selesai solat Jumaat.
Antara pertubuhan yang hadir dalam protes tersebut adalah Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Turut hadir memberi sokongan ialah bekas ketua Wira Perkasa Arman Adha Abu Hanifah yang hadir atas kapasiti individu.
Mereka turut menggantungkan beberapa kain rentang yang tertulis "Pertubuhan Pembela Islam Bantah Formula Idris Jala" dan "Islam Agama Negara" di sebuah anjung masjid berkenaan.
Sementara dalam kenyataaan yang dibacakan dalam perhimpunan tersebut, Yusri mendakwa terdapat kumpulan-kumpulan Kristian kelihatan cuba "cabar-mencabar dan merombak kedudukan dan kedaulatan Islam sebagai agama negara".
Katanya, PEMBELA tidak dapat menerima kenyataan dan tindakan yang dibuat kerana mendakwa "ia membayangkan terdapat agenda-agenda yang lebih besar" untuk dicapai kumpulan tersebut.
"PEMBELA percaya bahawa di sebalik isu-isu ini, terselit misi untuk membuka masyarakat Islam di Malaysia kepada permurtadan atau sekurang-kurangnya suntikan faham pluralisme agama, sekularisme dan ekstrim-liberal yang akan menghakis keutuhan jatidiri umat Islam di Malaysia," dakwanya.
Sebelum itu, sebelum protes selama 20 minit itu diadakan, mereka yang hadir berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan mempamerkan beberapa poster sebagai sokongan mempertahankan Islam.