Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis Daerah Sri Aman hari ini mengesahkan menerima laporan satu insiden melibatkan tembakan senjata api yang dilepaskan oleh seorang calon BN.

NONE Calon BN bagi DUN Bukit Begunan itu, Mong Dagang ( kiri ) didakwa melepaskan tembakan yang mengenai seorang individu, dipercayai seorang pegawainya.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum jelas sama ada tembakan yang dilepaskan itu dibuat dengan sengaja ataupun tidak kerana siasatan polis masih berjalan.

"Kita siasat bawah Akta Senjata Api. Lepas siasat, kita akan serah laporan pada pihak atasan," kata Ketua Polis Daerah Sri Aman ASP Mat Jusoh Muhamad kepada Malaysiakini .

"Jika dibuat secara sengaja, ada unsur jenayahlah. Tetapi perkara ini masih dalam siasatan dan saksi-saksi akan dipanggil (membantu siasatan)."

Menurut Mat Jusoh, pihaknya menerima aduan berhubung insiden tersebut yang berlaku pada minggu lalu.

Usaha Malaysiakini menghubungi Mong setakat ini belum berhasil.

Pagi ini, wakil rakyat DAP Jeff Oii menghebahkan perkara itu melalui Twitter dan meminta pengesahan daripada pengikutnya di laman sosial itu.

"Dengar-dengar calon BN (bagi kerusi) N26 Bukit Begunan lepaskan tembakan dan cederakan setiausahanya. Boleh sahkan perkara ini? (Ada) risiko dikeluarkan kelayakan (bertanding)," tulisan anggota parlimen Jelotong itu dipetik.

Kempen: Ada laporan, 'bukan serius'

Ketika ditanya kenapa DAP mahu menjadikan perkara itu isu dalam tempoh berkempen, Jeff menjelaskan, oleh kerana ia didakwa melibatkan pihak bertanding dalam pilihan raya, rakyat mestilah dimaklumkan.

"Calon mestilah bebas daripada sebarang dakwaan jenayah. Polis mestilah mengesahkan sama tembakan yang dilepaskan itu bebas daripada unsur jenayah kerana ia melibatkan pihak yang bertanding (dalam pilihan raya).

"SPR juga mesti dimaklumkan secepat mungkin dan perkara ini mesti dihebahkan kepada pemilih sebelum hari pengundian. Jika beliau didapati bersih, ia mesti diumumkan," katanya kepada Malaysiakini.

Bukit Begunan, kawasan majoriti Iban antara kubu kuat BN dalam pilihan raya negeri kali ini. Mong sebagai penyandang menghadapi persaingan tiga penjuru dengan calon PKR dan SNAP.

Sementara itu, mengulas tentang perjalanan kempen yang tinggal tidak sampai 24 jam lagi, Mat Jusoh berkata ia masih berjalan dengan aman tanpa sebarang insiden.

Ditanya tentang laporan yang diterimanya setakat ini, beliau mengakui ada menerima beberapa laporan tetapi bukan melibatkan perkara yang serius.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS