Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas dua portal berita altenatif - Sarawak Report dan Malaysiakini diserang penafian perkhidmatan (Distributed Denial of Service) beberapa hari lalu, kini Harakahdaily pula menerima serangan yang sama malam tadi.

harakah zulkifli pas Harakahdaily adalah portal online yang dimiliki oleh PAS dan membuat pelbagai liputan berita  termasuk pilihan raya Sarawak di mana lima calon mereka bertanding di negeri itu.

"Jam 10 malam tadi, rangkaian pembekal khidmat DNS kami telah mengalami serangan DDoS ( Distributed Denial of Service ), lantas menyebabkan capaian ke atas laman-laman HarakahDaily dan PAS telah terjejas," petik kenyataan oleh Pasukan Teknikal IT Harakahdaily .

Sehubungan itu, menurut kenyataan itu lagi, pasukan teknikal portal berkenaan masih bertungkus lumus menangani serangan tersebut dan berjaya mengurangkan kerosakannya. Harakahdaily masih boleh dilayari hingga hari ini.

Menurut laporan portal itu lagi, sebagai langkah menghadapi serangan, pasukan teknikal IT telah menyediakan beberapa laman alternatif untuk melayari Harakahdaily dan PAS menjelang pilihan raya Sarawak ini jika serangan tersebut berterusan.

Untuk Harakahdaily :-

1. harakahdaily.net

2. myharakah.net

3. harakah.net.my

Bagi laman PAS:-

1. pas.org.my

2. parti-pas.org

3. parti-islam.org

"Segala kesulitan amat dikesali. Kami sedang mengambil langkah seterusnya untuk menangani masalah ini," petik kenyataaan Pasukan Teknikal IT Harakahdaily .

Sementara itu, ketua pengarang Harakahdaily Zulkifli Sulong memberitahu Malaysiakini setakat ini pihaknya tidak menghadapi masalah walaupun serangan itu masih berterusan.

"Jadi kita memantau 24 jam. Selepas apa yang berlaku kepada Sarawak Report dan Malaysiakini , cepat-cepat kita ambil perhatian dengan perkara ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS