Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menggesa supaya Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan siasatan segera ke atas beberapa agensi kerajaan yang didakwa hadir dan berkempen di satu kawasan pilihan raya negeri Sarawak.
Nurul Izzah berkata, PKR menerima maklumat bahawa agensi seperti KEMAS, JASA dan TEKUN itu dikatakan sedang menetap di rumah panjang dan turut berkempen untuk BN di kawasan DUN Belaga.
Beliau mempersoalkan sama ada kehadiran agensi berkenaan dalam kempen pilihan raya kali ini merupakan satu salah laku.
"Kewujudan jentera BN yang bertapak di rumah-rumah panjang mungkin menjadi satu tekanan, atau bagaikan ancaman kepada para pengundi di situ untuk mengundi dengan bebas.
"Oleh itu, kami meminta siasatan dibuat pihak SPR untuk mengesahkan tiada salah laku yang bakal timbul akibat situasi yang saya bangkitkan ini," katanya.
Lebih-lebih lagi sekiranya jumlah anggota jentera BN itu melebihi jumlah petugas SPR," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, PKR juga bimbang keadaan itu akan memberi ruang kepada "pelbagai unsur yang mungkin sukar dikawal" memandangkan peti undi akan dibawa ke kawasan rumah panjang untuk membolehkan proses pengundian dijalankan.
"Kehadiran operasi jentera kerajaan pusat ini membawa pelbagai tanda tanya dan dikhuatiri akan dikembangkan di semua DUN di dalam pilihan raya negeri kali ini – yang dianggap paling berisiko buat Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud," katanya lagi.
"Kedua, adakah tindakan membawa masuk agensi-agensi ini sebenarnya satu pengakuan oleh
BN bahawa jentera BN negeri Sarawak telah gagal dan memerlukan bantuan BN Semenanjung?
"Lebih khusus, kerana ramai anggota agensi-agensi ini adalah anggota Umno, adakah ini satu petanda UMNO sedang cuba memasuki negeri Sarawak dengan senyap?," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.