Dakwaan pembangkang bahawa harga minyak petrol RON 95 dan diesel yang dijual di Sarawak naik adalah tidak benar dan ia dibuat hanya untuk mengelirukan rakyat terutama di luar bandar, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya biarpun harga minyak dunia naik tetapi kerajaan masih lagi mengekalkan harga minyak petrol RON 95 dan diesel dengan mengambil kira kesannya kepada rakyat.
Beliau berkata kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM0.84 seliter bagi minyak petrol RON 95 dan RM1.04 seliter untuk minyak diesel.
"Kepada rakyat, ini adalah dakyah palsu untuk mengelirukan mereka. Mereka (parti pembangkang) datang ke negeri ini menyatakan semua harga minyak naik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penubuhan Koperasi Kariah Masjid di Kuching hari ini.
Ismail Sabri berkata harga minyak petrol dan diesel di negara ini dikawal oleh kerajaan bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat.
Katanya hanya harga minyak petrol RON 97 naik tetapi ia hanya digunakan oleh kenderaan berkuasa besar dan di negeri ini tidak sampai 10 peratus dijual di stesen minyak di kawasan bandar iaitu di sini, Miri dan Sibu.
Ismail Sabri berkata pada masa sekarang saudagar mimpi iaitu parti pembangkang sedang meniagakan "janji bulan dan bintang" kepada rakyat di negeri ini.
"Tetapi rakyat negeri ini perlu sedar dan lihat rekod pencapaian kerajaan yang memerintah hari ini dan membandingkan negeri yang diperintah oleh saudagar mimpi itu yang semuanya negeri mereka tidak mampu menunaikan segala janji yang dibuat sewaktu pilihan raya," katanya.
- Bernama