Identiti pemilik jam tangan jenama Omega yang diserahkan kepada polis berhubung kes rakaman video aksi seks didakwa melibatkan pelaku dilaporkan mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diketahui tidak lama lagi, kata polis.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis telah menyerahkan kad pendaftaran jam itu kepada syarikat yang mengedarnya bagi tujuan pengesahan siapa pemiliknya.
"Sebelum ini kita telah memberikan tempoh seminggu untuk syarikat itu memberikan jawapan, namun sehingga kini tiada sebarang jawapan diberikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jam tangan itu dilaporkan merupakan antara dua bukti, selain rakaman video seks, yang diserahkan oleh ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim kepada polis bagi tujuan siasatan berhubung video itu.
Jam itu dilaporkan ditemui di bilik aksi seks berkenaan berlaku.
Dalam satu sidang akhbar sebelum ini, Anwar, yang ditanya mengenai jam tangannya berkata, jam tangan beliau ada pada isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Semalam pula, pada satu sidang akhbar di Kuching, ketika ditanya kenapa jam itu tidak diserahkan kepada polis, Anwar berkata polis tidak meminta jam itu dan biarlah polis yang minta.
Acryl Sani, ketika ditanya sama ada polis akan memanggil Anwar untuk menunjukkan jam itu, berkata: "Kita perlu selesaikan soal identiti pemiliknya sebelum mengambil langkah susulan.
"Keutamaan kita (ialah) pada siasatan video dahulu, baru jam dan lain-lain lagi," katanya.
Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kes rakaman video itu, beliau berkata ada beberapa perkara kecil perlu dikemaskini dan siasatan mungkin dapat diselesaikan dalam minggu ini dan kertas siasatan dapat dihantar semula ke pejabat Peguam Negara untuk semakan dan perbincangan lanjut.
"Ada beberapa perkara membabitkan keterangan perlu diberi gambaran semula. Walaupun ada keterangan kecil yang telah diambil tetapi ianya juga penting bagi membantu siasatan," katanya.
Siasatan polis itu dibuat berikutan laporan yang dibuat oleh Anwar pada 22 Mac yang menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video berkenaan.
Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan berhubung kes memuat naik video seks itu ke sebuah laman web, Acryl Sani berkata polis menerima salinan asal dan tidak tahu siapa yang memuat naik video itu.
"Soal siapa dan bagaimana ianya diedarkan awak kena tanya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang sedang siasat," katanya.
Ketika ditanya mengenai identiti seorang wanita dalam rakaman video seks itu, Acryl Sani berkata polis masih lagi mengesan identiti dan lokasi wanita itu berada.
- Bernama