Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setenang-tenang air di lautan, jangan disangka tiada buaya. Begitu ibaratnya kempen Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) di kesemua 26 kawasan Dayak yang ditandinginya dalam pilihan raya negeri kali ini.

Berbeza dengan pendekatan BN dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, SNAP memilih tidak terlibat dalam perang psikologi melalui pemasangan poster, bendera parti dan kain pemidang di kawasan-kawasan awam.

Bagaimanapun, sebagai parti tertua bangsa Dayak yang ditubuhkan pada tahun 1961, pengalaman mengajarnya cara mendapatkan undi dengan cara yang paling murah, namun dianggap paling berkesan.

snap anthony belon campaign “Dengan duit, kita tidak boleh lawan BN. Kita tidak ada duit sebanyak BN (untuk berkempen). Jadi, yang kita ada hanyalah masa (sebagai modal). Ini yang tidak ada pada parti-parti lain,” kata perancang kempennya yang enggan namanya dinyatakan.

Menurutnya beliau, menyedari tempoh kempen 11 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memadai, mereka mengambil keputusan mengumumkan calon lebih awal, lebih-lebih menyedari rundingan pembahagian kerusi dengan PKR mengambil masa terlalu lama.

“Jadi dengan itu kita ada lebih masa berkempen. Dengan cara ini, masuk sahaja hari berkempen, sekurang-kurangnya separuh daripada pengundi sudah kita temui,” katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini semalam.

Parti itu percaya, bertemu dan bermesra dengan pengundi secara langsung merupakan strategi yang terbaik bagi memenangi hati pengundi.

Bagi beberapa calon-calonnya, pendekatan unik itu dinamakan sebagai “silent killer” (pembunuh senyap). Manakala ada juga yang secara berjenaka merujuknya sebagai “taktik lipas”.

'Ejen' di rumah panjang

snap abang osman campaign “Malam-malam baru kita keluar gempur rumah-rumah panjang. Macam lepeh (lipas),” kata Abang Osman Abang Gom yang bertanding kali ketiga untuk merampas kerusi Lingga, berdekatan bandar Sri Aman.

Di rumah panjang yang tidak dapat ditembusi calon, SNAP akan memastikan terdapat “ejen” mereka di kalangan penduduk setempat berkempen dalam diam-diam, tambah Abang Osman – calon Melayu tunggal dalam parti yang didominasi Iban itu.

Sementara itu, walaupun di simpang-simpang jalan hampir tidak kelihatan langsung bendera kuning SNAP berkibar, mereka bagaimanapun tidak mengabaikannya di rumah-rumah panjang - tempat pengundi menginap.

Malah, poster yang dibekalkan amat besar kira-kira dua kali ganda saiz akhbar. Parti pimpinan Edwin Dundang Bugak itu juga memastikan setiap pengundi yang ditemui mendapat poskad kuning memaparkan nama dan wajah calon serta slogan SNAP sebagai “parti asal bangsa Sarawak”.

snap abang osman Ditanya adakah bahan kempen parti itu tidak akan dipasang langsung sehinggalah pilihan raya berlangsung pada 16 April ini, sumber itu mengiyakannya.

“Kalau kita pasang bendera. BN banyak, kita sikit. Jadi kita nampak lemah,” jelasnya.

Tinjauan Malaysiakini di beberapa kawasan yang ditandingi SNAP – meliputi Lingga, Bukit Begunan, Engkelili, Layar, Bukit Saban dan Krian – mendapati strategi ini betul-betul dilaksanakan seperti yang dirancang.

Bagaimanapun di Bukit Saban yang mana ketua Pemudanya Dayrell Walter Entrie sendiri bertanding kelihatan agak berbeza apabila kain pemidangnya kelihatan di tempat-tempat strategik dalam DUN itu.

Empat 'kawasan A'

Bukit Saban antara “kawasan A” bagi SNAP yang mana mereka yakin menang selain Pakan, Machan dan Lambir. Manakala kawasan yang dianggap berpotensi besar antaranya Lingga, Bukit Begunan, Bekenu, Engkelili, Telang Usan dan Tarat.

Difahamkan senarai tersebut diperoleh dengan mengambil kira faktor calon, petugas dan penyokong tegar di tempat masing-masing.

Sementara calon-calon di beberapa di DUN sepanjang jalan Sri Aman-Sarikei (kira-kira 200km) ketika ditemui rata-rata mengaku sebagai calon underdog atau bukan pilihan.

Di Bukit Saban, Dayrell masih risau sama ada pengundi yang berhijrah ke bandar besar untuk bekerja – dianggarkannya 30 peratus daripada keseluruhan 7,657 pengundi – dapat pulang menunaikan tanggungjawab di DUN itu.

Manakala Marudi @ Barudi Mawang (Engkelili) pula mengambil memberi perhatian kepada jentera BN dengan kekuataan kewangan yang disifatkannya mempunyai sumber kewangan “umpama padi di tangkai”. Kebimbangan itu turut dikongsi Joe Unggang di Layar.

Di Krian pula keadaan berbeza apabila calon PKR Ali Biju, seorang ahli perniagaan dilihat jauh di depan, termasuk berbanding calon BN sendiri.

Kempen SNAP memfokuskan lima isu utama, meliputi tanah adat (NCR), isu kalimah Allah dan Alkitab berbahasa Melayu, isu kemajuan negeri, Perjanjian 18 Perkara Tanah Melayu dan Sarawak serta pemeritahan 30 tahun Tan Sri Taib Mahmud sebagai ketua menteri.

SNAP bertanding di 26 kawasan majoriti Dayak dalam pilihan raya negeri kali ini dan bertembung dengan PKR di 25 tempat ekoran kegagalan rundingan awal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS