Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Kenapa 'ubah' kalau boleh 'transformasi'
Diterbitkan:  Apr 9, 2011 9:26 AM
Dikemaskini: 2:32 AM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Pakatan Rakyat yang didakwa menabur janji kosong dalam manifesto untuk memancing undi pada setiap pilihan raya.

sarawak election muhyiddin 080411 04 Katanya, Pakatan boleh menjanjikan 'bulan dan matahari' tetapi rekod di beberapa negeri yang diperintah mereka menunjukkan apa yang dijanjikan tidak pernah tertunai, malah dipenuhi pembohongan.

Sedangkan, kata beliau, BN tidak pernah menyebut perkataan 'ubah' yang sebenarnya sudah lapuk di mata rakyat.

"Barisan Nasional yang melihat masa depan negara dalam perspektif yang lebih luas mahukan transformasi agar Malaysia dan Sarawak terus berkembang dan maju," katanya pada majlis makan malam 1Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri yang dihadiri lebih 1,000 orang di Sibu, malam semalam.

Pakatan Rakyat, semalam mengumumkan manifesto bertemakan "Jom Ubah Sarawak" yang menggariskan 10 dasar secara serentak di Sibu dan Kuching.

sarawak election muhyiddin 080411 03 "Kita jangan terpedaya dan mesti berhati-hati bila mana kita menghadapi pilihan raya, kita mesti tahu akan hak kita. Yang mustahaknya, kita mesti tahu siapa mereka (pembangkang).

(Lim) Guan Eng kata Pulau Pinang kini negeri contoh, tapi contoh yang bagaimana... nak berniaga pun susah. Mungkin dia popular di kalangan orang Cina, tetapi (realitinya secara umum) kita mestilah juga popular di kalangan orang Cina, Melayu, India, Kadazan, Iban, Bidayuh dan semuanya," kata Muhyiddin.

Turut dibidasnya adalah manifesto Pakatan Rakyat di Selangor pada pilihan raya umum yang lalu termasuk memberi elaun kepada ibu-ibu tunggal, caruman takaful RM2,500 untuk warga emas dan memberi hadiah RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran universiti.

sarawak election sibu bn ceramah 080411 02 "Semua ini tidak ditunaikan sehingga hari ini. Ini hanya satu tawaran sahaja yang tidak pernah dipenuhi.

"Semuanya bohong, bohong dan bohong,.. tak ada pun.., kosong! Ini semua tawaran-tawaran yang mereka tidak akan mampu laksanakan jika memerintah.

"Dia nak ubah sebab nak ambil kuasa sahaja sebab itu mahu tumbangkan kerajaan. Sebab itu, BN mahukan mandat baru memerintah untuk meneruskan kesinambungan pembangunan dan kemajuan Sarawak. Kita tidak memaksa, tetapi kita yakin rakyat Sarawak akan membuat keputusan yang tepat," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru penduduk di Sarawak agar tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis Pakatan Rakyat.

sarawak election miri dap ceramah 080411 01 "Saya berharap penduduk di negeri ini menyokong usaha yang dipelopori oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak iaitu Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan pelan transformasi ekonomi.

"Program-program transfromasi ini mencakupi semua bidang dan ia adalah jauh lebih besar daripada perubahan yang diuar-uarkan pihak pembangkang yang bertanding di Sarawak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS