Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini mempertahankan kenyataan presidennya, Datuk Ibrahim Ali dengan
menegaskan soalan yang dikemukakannya di Parlimen semalam ditujukan kepada wanita Islam sahaja.
Ia berhubung kenyataan ahli parlimen Pasir Mas itu berkaitan isteri perlu utamakan keinginan suami.
"Adalah perlu diperiksa dulu di mana kenyataan Datuk Ibrahim itu dikeluarkan," kata setiausaha agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali.
"Ia disebut dalam Dewan Rakyat ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan. Menteri Datuk Masitah mengenai 'apakah peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendidik para isteri mengenai tanggungjawab mereka''.
"Kalau dilihat, soalan YB Pasir Mas itu adalah ditujukan kepada wanita Islam, bukan seluruh wanita di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Ia berkaitan dengan Islam. Walaupun Datuk Ibrahim secara lansung menyebut keinginan suami dan isteri kena berhenti dari segala urusan lain, itu sebenar menekankan bahawa adalah perlu isteri menjaga kepentingan suami supaya berlaku keharmonian rumahtangga dan begitu juga suami perlu menjaga kepentingan isteri dan ini juga demi keharmonian rumahtangga.
"Apa pun kenyataan yang Datuk Ibrahim buat dalam Dewan Rakyat itu adalah sesuatu yg dianjurkan oleh Islam. Semua orang Islam tahu hal ini dan tiada siapa di kalangan umat Islam boleh nafikannya," katanya.
Bagaimanapun, kata Syed Hassan, bagi mereka yg bukan Islam sudah tentu tidak dapat menerima apa yang dikatakan oleh Ibrahim, tetapi sekali lagi ianya tidak ada kena mengena dengan kaum lain.
"Soalannya ditujukan kepada timbalan menteri yang bertanggungjawab kepada Jakim. Ini perlu difahami oleh masyarakat bukan Islam.
"Jadi ketua Pertubuhan Bantuan Wanita(WAO), Ivy Josiah perlu lihat dulu kepada siapa kenyataan Datuk Ibrahim itu ditujukan.
"Tidak nafi peranan WOA sangat mulia demi membantu kaum wanita, tetapi bila menyentuh berkaitan dengan Islam, WOA perlu juga hati-hati supaya tidak menyinggung perasaan orang Islam dalam isu-isu tertentu," katanya lagi.
Yang pasti, tambahnya, sekali lagi perlu ditegaskan bahawa kenyataan Ibrahim bukan ditujukan kepada wanita yang menganut agama lain.
"Dan jangan sesekali memandang keji dengan kenyataan yang betul pada tuntutan Islam. Kami dengan agama kami, kamu dengan agama kamu," tambahnya.