Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM tahan kerja dua pegawai tinggal Sarbani
Diterbitkan:  Apr 7, 2011 3:14 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan kerja dua pegawainya yang meninggalkan penolong pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed seorang diri, sebelum dia ditemui mati di tingkat satu bangunan SPRM di Jalan Cochrane semalam.

NONE Menurut kenyataan SPRM hari ini, dua pegawai SPRM itu ditahan kerja untuk tujuan siasatan kerana dikatakan melanggar engkar perintah berhubung pengendalian saksi atau pelanggan di premis SPRM.

Ia ekoran mereka dikatakan gagal berada bersama saksi/pelanggan sepanjang masa ketika saksi/pelanggan berada dalam premis SPRM.

 

Proses tahan kerja itu, kata SPRM, adalah bagi membantu melicinkan siasatan dan ditahan kerja sehingga siasatan dalaman selesai dijalankan.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan menahan kerja itu dibuat di bawah Peraturan 43 Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tataertib) (Pindaan) 2002, untuk penyiasatan.

Apabila selesai, hasil siasatan dalaman itu akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Aduan SPRM.

Terma rujukan jawatankuasa aduan itu adalah untuk memantau pengendalian oleh suruhanjaya akan aduan mengenai salahlaku yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai suruhanjaya.

   

Ia juga untuk mengenal pasti sebarang kelemahan dalam tatacara kerja suruhanjaya yang mungkin menimbulkan aduan dan jika difikirkannya sesuai untuk membuat apa-apa syor tentang tatacara kerja suruhanjaya sebagaimana yang difikirkan patut.

   

Semalam, kira-kira pukul 10.15 pagi, Ahmad Sarbani, 56, yang ditahan semalaman pada 1 April lepas bagi membantu siasatan rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram, ditemui mati di tingkat satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane.

   

Sebelum itu, Ahmad Sarbani yang datang sendiri ke pejabat itu telah diiringi seorang pegawai untuk bertemu pegawai penyiasat namun pegawai tersebut telah meninggalkan mangsa dan keluar sebentar bagi mendapatkan pegawai penyiasat.

   

Namun dalam beberapa minit kemudian, pegawai tersebut telah kembali ke pejabatnya dan mendapati mangsa tiada dalam bilik berkaitan dan setelah mencari di kawasan itu, terlihat satu tubuh manusia terlantar di tingkat 1 bangunan pejabat berkenaan.

 

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS