Kempen pilihan raya BN Sarawak mendapat suntikan baru apabila perdana menteri menggempur kerusi panas Padungan yang majoritinya pengundi Cina pada lawatan seharinya.
Dengan dikawal rapi tidak kurang lima pengawal peribadi, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan pekedai di sekitar pasar di Padungan yang sebelum ini dimenangi oleh PKR
Namun lawatannya yang diiringi oleh 150 ahli NGO 1Malaysia dan 50 jurugambar akhbar kelihatan sebagai satu lakonan untuk media daripada peluang bermesra dengan rakyat.
Walaupun sebahagian besar pemilik kedai di sini gembira dapat bertemu seketika dengan lelaki paling berkuasa di negara ini, namun terdapat seorang yang berani mempersoalkan mengapa Najib hanya membawa bendera 1Malaysia untuk lawatannya itu.
"Mengapa hanya beri ini (bendera 1Malaysia) kepada kami? Kami mahu wang. Ini masa pilihan raya, awak selalu bagi wang masa pilihan raya,” kata lelaki itu kepada Najib yang kemudiannya dengan segera dibawa beredar oleh pengawalnya.
Lawatan itu, termasuk ke sebuah rumah pangsa kos rendah, di mana 80 peratus penghuni Cina.
Turut berada di lokasi yang sama adlah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Melihat kehadiran setiausaha agung DAP itu, penyokong Najib terus melaungkan ‘1Malaysia’.
"Saya di kawasan ini. Jadi sebagai tanda hormat, saya datang dan bersalam dengan perdana menteri.
"Kami hanya bersalam dan berbual seketika sebelum diganggu oleh suara mereka yang terus bersorak,” kata Lim sambil tersenyum.