Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berita kematian seorang pegawai Jabatan Kastam selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur di Jalan Cochrane pagi ini, memeranjatkan sesi prosiding suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Sejurus sebelum suruhanjaya itu berhenti berehat pada waktu makan tengah hari, pengerusi ketua RCI, Hakim Datuk James Foong, secara tiba-tiba bertanya kepada peguam yang hadir sama ada mereka ada telefon Blackberry.

Para peguam nampak kebingungan, sehinggalah Foong memberitahu mereka bahawa telefonnya sentiasa bergetar dengan berita mengenai kematian seorang pegawai kastam.

Berita mengenai kejadian tersebut tersebar sekitar jam 11 pagi di kalangan para wartawan yang menggunakan telefon Blackberry yang membuat liputan siasatan suruhanjaya terhadap kematian Teoh Beng Hock.

Teoh dijumpai mati pada 16 Julai 2009 di koridor perkhidmatan tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, di mana pejabat SPRM Selangor terletak di tingkat 14.

Suruhanjaya diraja itu ditubuhkan untuk menyiasat sama ada berlaku sebarang pelanggaran procedur atau salahguna kuasa oleh pihak SPRM berhubung kematian Teoh.

Siasatan pagi ini mendengar keterangan ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah, yang turut dipanggil sebagai saksi oleh SPRM pada hari yang sama dengan Teoh.

Tan berada di pejabat SPRM selama lebih 16 jam untuk kenyataannya dirakamkan pada hari berkenaan.

[Berita lanjut menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS