Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas timbalan GM Yayasan S'gor dituduh rasuah
Diterbitkan:  Apr 5, 2011 1:12 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

Bekas timbalan pengurus besar (pengurusan) Yayasan Selangor, Mohd Saifulruddin Sulaiman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan rasuah.

Dia menghadapi tiga tuduhan secara rasuah menyetujui menerima suapan wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM45,000.

Mohd Saifulruddin dituduh melakukan kesalahan itu di antara 5 Oktober 2010 dan 11 November 2010. Dia didakwa dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Saifulruddin dituduh menerima wang tunai RM20,000 sebagai upah dalam membantu syarikat Drift Z Enterprise dipilih dan dilantik sebagai pengurus acara majlis sambutan 40 tahun Yayasan Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8 malam 5 Oktober 2010 di alamat no.3, Jalan Platinum 7/43C, Seksyen 7, Petaling Jaya, Selangor.

Bagi tuduhan kedua pula, dia dituduh menerima wang tunai berjumlah RM20,000 pada jam 9 malam 25 Oktober 2010 di alamat yang sama sebagai upah kerana tidak menahan pembayaran ketika itu kepada Syarikat Drift Z Enterprise.

Manakala bagi tuduhan ketiga, Mohd Saifulruddin dituduh menerima RM5,000 sebagai dorongan supaya melepaskan bayaran tambahan program sebanyak RM93,982.40 kepada syarikat yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 9 malm 11 November 2010 di hadapan Restoran The Skewers, Subang Avenue, Selangor.

Mohd Saifulruddin dituduh menerima wang rasuah dalam ketiga-tiga tuduhan tersebut dari Husni Abd Rahim.

Mohd Saifulruddin sebelum ini telah dipecat kerajaan Selangor pada 17 Februari lalu.

Dia tidak mengaku bersalah dan diwakili peguam Sawmee Ullah. Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 9 Mei depan.

Mahkamah juga membenarkan ikatjamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwaraya Anthony Kevin Morais dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Hakim Mat Ghani.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh berdepan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS