Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sembelih enggang, lima askar digantung tugas
Diterbitkan:  Apr 3, 2011 3:39 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Seorang pegawai dan empat anggota tentera lain-lain pangkat yang menyembelih seekor burung enggang di Taman Negeri Royal Belum di Gerik, Perak baru-baru ini, dikenakan tindakan gantung tugas mengikut Akta Angkatan Tentera 1972.

soldiers slaughtered hornbill at belum Menteri Pertahanan Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi berkata semua yang terlibat itu juga akan dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

"Berdasarkan siasatan, ada pemburu lain yang menembak enggang itu sehingga  jatuh. Apabila melihat keadaan burung itu yang lemah (hampir mati), anggota-anggota tentera terbabit telah menyembelihnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Keluarga Kelab Anak Rantau di  Bagan Datoh, di Shah Alam hari ini.

Ahmad Zahid berkata walaupun anggota tentera terbabit bukan pihak yang bertanggungjawab menembak burung enggang itu, mereka sepatutnya menyelamatkannya dan bukan bertindak menyembelih burung tersebut.

Sehubungan itu katanya, kementerian tersebut terpaksa mengambil tindakan disiplin ke atas semua anggota tentera terbabit.

    

Akhbar sebelum ini menyiarkan berita bergambar menunjukkan beberapa anggota tentera sedang memegang seekor burung enggang yang telah disembelih dan gambar itu tersebar di beberapa laman web.

Perbuatan itu mendapat bantahan orang ramai termasuk Persatuan Pencinta Alam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS