Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Li: Dedah video seks bukan budaya Melayu, Islam
Diterbitkan:  Apr 2, 2011 2:22 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini membidas pihak yang mendalangi video lucah untuk menjatuhkan pemimpin pembangkang. Katanya, rakyat akan menolak "politik kotor' sebegitu untuk mengalihkan tumpuan mereka daripada isu-isu nasional yang jauh lebih penting.

 

NONE "Ini orang panggil gutter politics , politik longkang (dan digunakan) bila sudah tidak ada modal lagi. Ia timbul sebab polisi dan dasar yang diperjuangkan sudah tidak laku dan rakyat nampak tidak menerimanya.

“Oleh kerana itu (mereka) main politik kotor menyerang seseorang dengan harapan rakyat ketepikan hal seumpama itu. Ini bukan politik," kata mantan menteri kewangan dan bekas naib presiden Umno itu.

 

Dalam wawancaranya di TV Selangor , Tengku Razaeligh yang juga dikenali 'Ku Li' menegaskan rakyat, khususnya masyarakat Melayu,  menolak cubaan mana-mana pihak menyerang keperibadian pihak lain semata-mata untuk mencari kelebihan politik.

 

"Saya tak fikir rakyat terima hal (video seks) ini. Kalau tengok kes Anwar yang pertama tahun 1998, rakyat tidak terima. Usung tilam, bantal semua, tak ada orang terima. Saya masih ingat semasa saya adakan majlis dialog di Gua Musang. Orang cakap. Ni Melayu ke ni? Malulah.

"Perkara ini tak patut didedah kepada orang ramai. Jadi itu tunjukkan orang tak faham politik pun menolak benda macam ni. Saya rasa (video seks) ini salah langkah," katanya.

NONE Menurut Razaleigh biarpun pihak yang mendalangi video seks itu berjaya menjatuhkan Anwar dan mencapai kemenangan politik, ia tidak bermakna dalam konteks kemuliaan tamadun negara itu sendiri.

 

"Kenapa kita nak amalkan ini semua kerana politik? Jika berpolitik sebegini, kalau kita menang pun, tidak ada maruah, tidak ada nilai, jadi tidak guna kita menang pun kalau kita guna cara buruk dan keji untuk mendapat tempat. Saya rasa rakyat pun tak dapat terima dengan baik," katanya.

Bukan budaya Melayu, Islam

 

Tiga individu - bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay mengaku mendalangi penayangan video itu kepada wartawan terplih pada 21 Mac lalu.

 

azlan Mereka mendakwa rakaman itu menunjukkkan seorang pemimpin kanan pembangkang yang mirip Anwar sedang mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari.

 

Anwar kemudiannya membuat laporan polis bagi membolehkan polis menyiasat siapa pelaku dalam rakaman itu.

 

Pada sidang mediannya, ketua umum PKR itu menjelaskan pada malam adengan rakaman itu, beliau di rumah bersama ahli keluarga dan kakitangannya serta berinteraksi dengan kenalan menerusi Twitternya.

 

Razaleigh berkata perbuatan mencantas ahli politik dengan taktik-taktik keji seperti menayangkan video seks "bukan budaya" Melayu mahupun Islam kerana ia amat keji.

 

azlan "Saya tak tahu di mana kita belajar perkara ini. Di Amerika pun orang kata politiknya kotor. Saya rasa ia bergantung pada kita. Rakyat Malaysia punya tamadun dan budaya yang baik, kenapa kita hendak ikut budaya tak baik.

 

"Apatah lagi bagi orang Melayu Islam, tak patut kita lakukan benda yang jijik yang dipandang rendah oleh orang. (Apa guna) kita buat perkara yang hina di sisi masyarakat," tegas beliau.

Semalam, Ketua Polis Negara Ismail Omar membuat pengumuman bahawa video itu adalah tulen namun tidak mengulas sama ada pelakunya dikenal pasti.

 

Kenyataan Ketua Polis Negara itu menimbulkan pelbagai kecurigaan kerana adalah difahamkan polis tidak mengambil keterangan daripada pihak-pihak yang relevan untuk memperakukan keterangan Anwar sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS