Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam timbulkan 'dua taktik' soal siasat SPRM

Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock hari ini diberitahu mengenai dua kemungkinan cara yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam soal siasat mereka.

Walaupun timbalan pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim menafikan kedua-dua kaedah yang dicadangkan oleh Edmund Bon, yang mewakili Majlis Peguam, peguam itu berkata terpulang kepada imaginasi mereka untuk berfikir sama ada ia digunakan.

Kaedah yang dicadangkan oleh Bon itu adalah kemungkinan yang mata Teoh ditutup dan pembantu politik itu dibawa ke suatu tempat yang tinggi dan kemudiannya diugut.

Selain itu, katanya Teoh juga mungkin ditempatkan di tepi tingkap ketika disoal untuk memberikan maklumat.

Namun Hishamuddin menafikan perkara itu dan berkata "semua ini fitnah dan tak benar sama sekali”.

NONE Beliau juga menafikan terbabit dalam soal siasat ke atas Teoh apabila Bon mencadangkan pegawai SPRM itu menipu dalam keterangannya bahawa beliau sedang tidur di pejabat.

Bon juga bertanya mengenai kemungkinan teknik yang digunakan oleh Hishamuddin termasuk merentap tali pinggang Teoh sambil mengoyangkan mangsa bagi mendapatkan maklumat. Bekas timbalan pengarah itu menafikan perkara tersebut.

Ketika ini, pakar patologi Thai, Dr Pornthip Rojanasunand sedang memberi keterangan sambil dibantu oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar yang dibawa oleh kerajaan negeri Selangor bagi membantunya.

Ketua panel pesuruhjaya lima anggota ini, hakim Tan Sri James Foong mengalu-alukan kedatangan Pornthip di sebalik jadualnya yang ketat.

Pornthip, 56, sekarang ini sedang disoal oleh wakil pejabat peguam negara, Amarjeet Singh.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS