Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mashitah: Poco-poco hanya senaman
Diterbitkan:  Mar 31, 2011 5:04 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berpendapat tarian poco-poco hanyalah sejenis tarian berbentuk senaman serta tidak perlu diharamkan di seluruh negara.

NONE "Dari satu tempat ke satu tempat tarian poco-poco ini berbeza. Lagu pun tidak sama. Jadi besar kemungkinan ditimbulkan di Perak kerana di Perak tidak sama dengan tempat lain.

"Tapi di tempat-tempat lain yang saya sendiri perhatikan ia berbentuk lebih kepada senaman yang mana kalau nak buat aerobik itu pada orang tua mungkin agak agresif.Jadi poco-poco ini digunakan sebagai wadah untuk orang bersenam, itu yang saya lihatlah," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak untuk mengharamkan tarian itu seperti yang diumumkan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya setiap negeri berhak mempunyai fatwa yang bersesuaian dengan negeri masing-masing, begitu juga di Perak yang sudah tentu mempunyai alasan tersendiri untuk mengharamkan tarian itu.

Harussani Zakaria Harussani dilaporkan berkata tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh dan pewartaan terhadap fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi.

"Poco-poco itu adalah muzakarah fatwa di Perak sahaja. Sehingga kini keputusan itu belum diwartakan. Bermakna selagi itu, ia tidak berkuatkuasa.Kalau berkuatkuasa pun ia hanya di Perak sahaja kerana ia bukan hasil dari keseluruhan muzakarah mufti," kata Mashitah.

Ketika ditanya sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu mengkaji pengharaman tarian itu, beliau berkata ia perlu dikaji sekiranya terdapat aduan daripada rakyat.

NONE "Kalau tidak ada orang nak mengadu, jadi tiada punca kita nak mengkaji benda ini kerana tidak ada sebarang aduan yang melihat bahawa poco-poco ini associate dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan agama," katanya.

Terdahulu beliau melancarkan prapelancaran Album Masjid: Lambang Ketamadunan Islam di Malaysia yang mempamerkan keunikan gabungan seni fotografi dan fakta mengenai masjid-masjid di seluruh negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS