Cadangan projek Aliran Transit Massa (MRT) yang membabitkan laluan Kajang - Sungai Buluh sepanjang 60 kilometer akan menjadi ujian getir kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor menurut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Katanya, ini berikutan projek menaiktaraf pengangkutan awam yang akan menelan kos sebanyak RM40 bilion itu meliputi sebahagian besar kawasan Selangor selain cadangan laluan melibatkan kawasan penempatan penduduk.
Justeru, Khalid bertegas akan mengambil sikap proaktif berbincang dengan kerajaan persekutuan bagi memastikan kepentingan rakyat di Selangor tidak diabaikan.
"Kerajaan negeri bukan lihat sebab komersial tapi usaha kerajaan untuk selesaikan masalah kesesakan jalan raya. Ini adalah satu ujian antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri agar dapat berbincang secara profesional bagaimana untuk mencapai satu perbincangan untuk kebaikan rakyat. Kita perlu proaktif," jawab beliau pada sidang DUN Selangor pagi tadi.
Menjawab soalan yang dikemukakan ADUN Bangi, Khalid berkata taklimat proses pemetaan lokasi stesen MRT telah diwartakan untuk perbincangan.
Elakkan ketidakadilan
Justeru katanya, pembabitan secara langsung kerajaan negeri dalam usaha mencari penyelesaian aliran laluan MRT penting bagi mengelakkan sebarang ketidakadilan kepada rakyat tempatan.
Sebelum ini, 30 pemilik kedai di Kajang membantah cadangan laluan MRT yang turut melibatkan premis mereka.
"Yang penting kuasa yang ada pada tangan kerajaan negeri adalah proses pengambilan tanah. Jika kerajaan negeri mendapati pengambilan untuk aliran tidak adil kepada rakyat dalam pembangunan, kita berhak untuk tidak meluluskan.
"Saya akan mengambil sikap proaktif tapi tidak akan membelakangi rakyat negeri selangor. Kita telah mengumumkan bercadang untuk menempatkan exco dalam perbincangan supaya hampir dengan rakyat dan mengetahui keadaan sebenar. Pampasan yang adil perlu diberikan," kata Khalid.
Namun menurutnya setakat ini tiada sebarang pembangunan diluluskan di kawasan aliran yang terlibat.
Katanya lagi, kerajaan negeri melalui pejabat-pejabat tanah daerah telah mengeluarkan notis awal kepada penduduk yang terlibat bagi mengelakkan sebarang spekulasi harga tanah.
Justeru, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diberikan boleh mengemukakan perkara tersebut di mahkamah.
Khalid kemudian menjelaskan kerajaan negeri masih sangsi dengan pendekatan kerajaan persekutuan berhubung kos pembinaan MRT. Justeru beliau menyarankan agar badan penilaian bebas diwujudkan bagi menilai kos sebenar sejajar dengan konsep nilai berpatutan.
"Tidak semestinya Gamuda akan mendapat kontrak tersebut. Kontrak tersebut perlu ditender. Pasukan penilaian bebas akan menilai sebenar kos tersebut. Kita masih sangsi dengan kerajaan persekutuan dan saya rasa ini adalah satu cara memastikan kos terlibat memberi konsep nilai berpatutan," jelasnya lagi.