Sepasang suami-isteri warga emas nyaris menjadi korban pertama ribut kencang dan hujan lebat yang hampir meranapkan rumah mereka di Kampung Ulu di Kuala Nerang, Kedah dalam satu kejadian petang semalam.
Menceritakan detik-detik cemas yang dilaluinya, Tam Mat Diah, 86, berkata dia sempat bertakbir sebaik bumbung rumahnya ibarat pondok yang menjadi tempat tinggal dia dan isterinya diterbangkan angin kencang beserta hujan lebat.
Kediamannya mengalami 80 peratus kerosakan akibat bencana itu dan tidak dapat dibaiki, kata Tam namun beliau bersyukur kerana Allah SWT turut melindungi isterinya, Rokiah Abdul Rahman, 85, daripada sebarang musibah.
"Saya hanya sempat mengambil tikar mengkuang untuk menutup Rokiah yang terlantar akibat lumpuh daripada terkena hujan dan kayu yang jatuh dalam kejadian bermula kira-kira 7.15 malam tadi," kata Tam semasa ditemui, hari ini.
Katanya ADUN Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim berjanji mendapatkan sebuah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk mereka.
"Buat sementara waktu saya menumpang di rumah anak saudara, Zulkifli Abdullah, 48, yang tinggal bersebelahan rumah kami," kata warga emas itu yang bergantung hidup kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan sejak tiga tahun lepas.
Beliau menganggarkan kerugiannya lebih RM3,000 manakala Zulkifli pula kerugian lebih RM10,000 kerana hampir keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan ribut dan air hujan memusnahkan peralatan eletrik serta kelengkapan rumah.
Seorang lagi mangsa dari kampung sama, Rosdi Abdul Aziz, 42, penoreh getah, kerugian hampir RM10,000 kerana sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan angin dan dahan pokok menghempap rumahnya.
Menurut Syed Sobri beliau mengambil sikap proaktif membantu mangsa-mangsa ribut dengan membaiki apa yang patut dan menebang pokok-pokok yang menghalang laluan.
"JKM hanya beri bantuan segera dalam bentuk makanan....takkanlah nak biarkan bumbung rumah mereka ternganga (terbuka). Di mana mereka hendak tinggal. Nak tunggu bantuan agensi kerajaan tak tau bila....dalam masa bencana inipun mereka masih kerja ikut waktu pejabat. Inilah masalahnya.
Syed Sobri berkata, beliau menggerakkan unit petugas khas ADUN Kuala Nerang seramai 20 orang bagi membantu mangsa ribut sejak kejadian ribut itu berlaku Ahad lepas.
Sementara itu, ribut kuat lebih dua jam itu merosakkan 24 rumah di tiga kampung dalam DUN Kuala Nerang iaitu 21 di Kampung Ulu, dua di Kampung Banggol Cenerai dan sebuah di Kampung Padang Gelanggang membabitkan kerugian lebih RM100,000.
Tinjauan Bernama di Kuala Nerang mendapati ribut kuat sehingga lewat malam tadi turut menumbangkan banyak pokok dan merosakkan kemudahan awam termasuk menerbangkan papan-papan tanda.
- Bernama