Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN Sri Muda nyaris dikenakan waran tangkap
Diterbitkan:  Mar 28, 2011 1:34 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menetapkan 25 April depan untuk sebutan semula kes ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei yang didakwa menerbitkan artikel mengandungi ayat-ayat menghasut di laman blognya pada 30 Dis tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Edmund Bon yang mewakili Shuhaimi, 42.

scah ipcmc talk 181207 edmund bon Bon memohon satu tarikh sebutan semula bagi membolehkan pihaknya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi selewat-lewatnya Jumaat ini untuk memohon satu deklarasi bahawa Akta Hasutan 1948 bercanggah dengan Artikel 5,8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum itu, pertuduhan dibacakan semula kepada Shuhaimi memandangkan kes itu pada tarikh lepas telah disebut di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar.

ADUN daripada PKR itu didakwa menerbitkan artikel bertajuk "Pandangan saya berasaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959" yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://srimuda.blogspot.com di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning di Shah Alam, 30 Dis tahun lalu.

Shuhaimi didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketidakhadiran Shuhaimi ketika mahkamah bersidang pada pukul 9 pagi menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap kepada ADUN itu.

NONE Bon bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan surat kepada mahkamah pada 25 Mac lepas memohon agar kes itu disebut pada sebelah petang berikutan Shuhaimi perlu menghadiri pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dirasmikan oleh Sultan Selangor.

Beliau juga berkata pihaknya baru menerima dokumen berkaitan daripada polis pada 25 Mac lepas dan perlu membuat persiapan terakhir sebelum memfailkan permohonan deklarasi di Mahkamah Tinggi.

Mohamad Hanafiah berkata peguam sepatutnya menasihatkan Shuhaimi untuk hadir pada prosiding pagi ini memandangkan mahkamah tidak memberi jawapan kepada surat mereka, apatah lagi Shuhaimi terikat dengan syarat-syarat jaminan dan tarikh sebutan pada hari ini telah ditetapkan awal iaitu pada 7 Feb lepas (tarikh Shuhaimi pertama kali hadir di mahkamah).

Bon berkata ini satu situasi yang ada alasan munasabah kerana tertuduh wajib hadir sidang DUN dan memohon untuk menangguhkan prosiding untuk mendapatkan tertuduh hadir ke mahkamah."

Slamat membenarkan permohonan peguam itu dan menangguhkan seketika prosiding mahkamah.

Shuhaimi tidak lama kemudian dilihat hadir kira-kira pukul 10.05 pagi dengan berpakaian rasmi Sidang DUN dan bersongkok.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding selesai, Shuhaimi jelas kecewa kerana kegagalannya hadir di mahkamah lebih awal hampir menyebabkan beliau dikenakan waran tangkap.

"Kami telah memohon secara lisan kepada mahkamah di peringkat awal kes bahawa saya tidak dapat hadir pada prosiding pagi kerana perlu hadir pembukaan Sidang DUN. Kita hantar surat pada minggu lepas tetapi mungkin disebabkan hakim telah bertukar surat tidak sampai.

"Ini seakan-akan memberi imej jika saya tidak dapat hadir (sidang DUN) maka pihak tertentu akan cakap saya tidak hormati sultan," katanya.

Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan di blognya yang didakwa telah mempertikai keputusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang baru.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS