Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memberi jaminan pihaknya tidak akan mengubah waima sedikit pun, butiran laporan audit Yayasan Selangor yang bakal didedahkan kepada umum pada Mei ini.
Khalid berkata walaupun hasil audit itu mencatatkan angka yang agak teruk, namun kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang telus dan tidak akan memanipulasikan laporan audit itu demi menutup kepincangan yang diwarisi pemerintahan terdahulu.
"Kita perlu pastikan laporan audit tu bebas. Makananya orang yang jalankan audit itu bebas untuk melakukan melaporkan apa saja tanpa terikat pada mana-mana kepentingan.
“Audit untuk 2010 sedang dijalankan, sebab itu saya berhenti sekajap supaya pengaudit dalaman teliti audit dengan teliti. Lepas itu, kita buat perbezaan audit yang dibuat oleh pengaudit dalaman dengan pengaudit kerajaan negeri,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Kolej Inpens di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK), Shah Alam pagi tadi.
Khalid berkata, sebaik sahaja laporan audit siap, pihaknya akan menjawab segala persoalan yang ditimbulkan pengaudit dan kemudiannya berkongsi hasil laporan itu dengan rakyat negeri ini.
SPRM dialu-alukan
Menjawab soalan wartawan, Khalid berkata, beliau mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keatas badan itu bagi membuktikan dakwaan liar sesetengah pihak yang berkepentingan sebelum ini tersasar sama sekali.
"Saya dah suruh SPRM duduk di pejabat, tak payah cari lagi. Saya dah suruh dia duduk kat Pejabat Menteri Besar pun saya dah suruh, kat mana-manapun dia boleh duduk.
“Maknanya, ini bukan satu perkara, kita galakkan. Ini orang luar sibuk-sibuk pangil SPRM, tak payah. Saya suruh dia duduk situ, kalau apapun dia boleh tengok, sebab kita punya polisi adalah keterbukaan, kalau dia nak tengok fail, biar dia tengoklah, apa pula yang menjadi masalah, tak payah tunggu apa semua," katanya.
Semalam, Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia agar menjalankan siasatan terhadap perbelanjaan penyelenggaraan itu yang dikatakan sebanyak RM6 juta sepanjang 11 bulan pertama tahun lalu.
Abdul Shukor berkata berdasarkan Laporan Bahagian Audit Dalaman Pejabat SUK terhadap yayasan itu mendapati, sepanjang Januari hingga November 2010 sebanyak RM6,029,790 telah dibelanjakan oleh yayasan untuk tujuan itu.
Catatkan sedikit untung
Beliau berkata jumlah itu adalah keterlaluan dan tidak munasabah kerana ia tidak melibatkan pembelian kenderaan baru.
Mengulas dakwaan itu, Khalid menjelaskan, tiada lebihan diterima untuk tempoh audit tersebut kerana kebanyakan projek pembangunan belum mampu menjana pendapatan dan ia bukanlah satu perkara yang aneh.
Pada 2005, Yayasan Selangor mengalami kekurangan lebihan sebanyak RM10 juta. Namun dua tiga tahun selepas itu, badan itu mencatatkan sedikit lebihan kerana pelaburan yang dibuat mulai membuahkan hasil.
"Sebab masa itu, projek YS baru menghasilkan pendapatan, Jadi adakalanya pendapatan melebihi perbelanjaan, ada juga tahun yang perbelanjaan kita tetap kerana kita ada asrama, kita ada membagi belanja murid-murid dan semua.
“Jadi bila kita membuat analisa, kita menganalisa dengan corak perbelanjaan dan corak penggunaan," kata beliau.